NASIONAL

Mukhriz: Ajakan Annuar pelawa Tun M masuk Umno tindakan nakal

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Pelawaan Setiausaha Agung Umno Malaysia, Tan Sri Annuar Musa mengajak Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamed menyertai Umno dianggap sebagai pelawaan nakal, kata Ahli Parlimen (MP) Jerlun, Dato’ Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Katanya, mempelawa seorang yang kini sudah bergelar Perdana Menteri adalah perkara yang amat mustahil.

“Saya fikir itu cuma pelawaan nakal, mungkin sahaja beliau mahu mempelawa seorang yang sudah bergelar Perdana Menteri merangkap pengerusi parti kerajaan untuk masuk ke parti pembangkang.

“Tun Dr Mahathir sendiri sudah keluar dari parti terbabit, saya pula dipecat, kenapa secara tiba-tiba beliau mempelawa? Saya fikir ia sudah terlambat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas tamat sesi pertama Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Parlimen ke-14, di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, masalah dihadapi Umno buat masa ini biar ahli mereka sahaja menyelesaikannya kerana ia membabitkan kepimpinan dan struktur parti terbabit.

“Pada pandangan saya, memang sukar untuk Umno menyelesaikan masalah mereka kerana terlalu banyak kepincangan penyelewengan berlaku dalam parti itu yang tidak dapat ditangani dengan baik.

“Ia sekali gus menjadi punca hilang keyakinan rakyat terutama masyarakat Melayu terhadap kewibawaan Umno,” katanya.

Semalam, Annuar membuat pelawaan kepada Tun Dr Mahathir dan ahli-ahli PPBM untuk kembali ke pangkuan Umno semula.

 


Pengarang :