SELANGOR

Muzakarah Fikh ke-4 perkasa wanita dan kanak-kanak

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Persidangan Antarabangsa dan Muzakarah Fikh ke-4 menjadi platform relevan membincangkan isu pemerkasaan komuniti, wanita dan kanak-kanak, sekali gus mencari penyelesaiannya.

Rektor Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIS), Prof Dato’ Dr Abdul Halim Tamuri berkata, Islam menghormati wanita kerana mereka adalah antara penyumbang besar kepada perkembangan kanak-kanak.

Katanya, keseimbangan perkembangan kanak-kanak dari segi pendidikan dan pembangunan penting dalam memastikan mereka tidak tertinggal.

“Isu berkaitan kanak-kanak yang terbengkalai, tiada persekolahan dan putus sekolah dalam pendidikan adalah masalah yang perlu diselesaikan bersama.

“Persekitaran kondusif diperlukan untuk pertumbuhan, pendidikan dan kesihatan mereka, di samping aspek ukhrawi supaya mereka tidak hanyut serta terabai dalam aliran globalisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Antarabangsa dan Muzakarah Fikh, di Institusi Sosial Malaysia, di sini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan EXCO Kesihatan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, wanita dan kanak-kanak harus diberi hak seperti dijelaskan dalam Islam untuk memperkuatkan serta membantu mereka memelihara keluarga.

“Tanggapan sewajarnya perlu diberikan selaras undang-undang Islam. Dalam Islam, perbezaan gender dianggap sebagai komponen penting kepada struktur keluarga dan komuniti yang sihat dengan setiap individu menyumbang bakat tersendiri kepada masyarakat.

“Dalam konteks lain seperti ekonomi, pendidikan, keselamatan, kesihatan dan kebudayaan, Islam tidak melarang pembabitan wanita. Mereka diberi hak untuk maju selaras dengan peredaran masa dan peraturan Syariah.

“Walaubagaimanapun, terdapat banyak cabaran yang timbul, seperti suara hak kemanusiaan memerangi kesaksamaan dan tidak kurang daripada usaha menyekat pembabitan wanita,” katanya.

 


Pengarang :