SELANGOR

Nadi Sihat bawa 200 peserta ke Gua Wang Burma latihan cemas

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 OKT: Pertubuhan Nadi Sihat (Nadi Sihat) membawa hampir 200 peserta ke Ekspedisi Dan Simulasi Menyelamat Di Gua Wang Burma, Perlis 2018 (EKSIM@GUA2018) bermula hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Haniza Talha berkata, objektif ekspedisi itu adalah bagi mempraktikkan respon peserta apabila berdepan insiden tidak dijangkakan ketika ekspedisi menjelajah gua.

“Ia secara tidak langsung melatih pasukan terlibat terhadap prosedur bantuan kemanusiaan sekiranya berlaku kecemasan.

“Pemilihan Gua Wang Burma tepat berikutan struktur gua mencabar fizikal dan mental peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bendera program dan pelepasan peserta EKSIM@GUA2018 di Taman Baru Ampang, semalam.

Hadir sama Penasihat Program EKSIM@GUA 2018, Datuk Dr Maamor Osman, Presiden Nadi Sihat, Azlina Abdul Aziz, dan Ketua Pegawai Eksekutif Nadi Sihat, Shah Mustafa.

Haniza berkata, beliau difahamkan ahli-ahli Nadi Sihat terdiri daripada orang awam yang meminati aktiviti lasak.

“Saya teruja mendengar surirumah, doktor, pesakit kanser dan guru telah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu sebelum ini.

“Kali ini mereka ke utara Semenanjung tanah air pula, pesanan saya kepada semua peserta semoga kalian semua selamat pergi dan selamat pulang. Sentiasa saling menjaga keselamatan diri dan rakan-rakan yang lain,” katanya.

 


Pengarang :