GLOBAL

NASA tolak perbuatan khianat, misteri lubang kapal angkasa belum terjawab

WASHINGTON 4 OKT: Pentabiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) semalam menolak spekulasi, faktor sabotaj menyebabkan lubang kecil ditemui bulan lalu pada bahagian tepi kapal angkasa Russia yang berlabuh di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), namun misteri itu belum diselesaikan.

Dalam satu kenyataan ringkas, NASA menegaskan, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Lepas Russia Roscosmos, Dimitri Rogozin, membuat ulasan terbuka minggu ini menolak kecacatan pengeluaran sebagai punca lubang terbentuk.

Bagaimanapun NASA menambah, “Rumusan itu tidak bermaksud lubang itu terbentuk dengan sengaja atau berniat jahat,” seperti mana media mengulas kenyataan Rogozin.

Berbanding percaya terhadap teori perbuatan khianat, menolak kecacatan pengeluaran sebagai punca lubang ‘menunjukkan ia satu isu terpencil yang tidak menjejaskan pengeluaran akan datang,’ kata NASA.

Roscosmos dan NASA masing-masing membuka siasatan sendiri selepas lubang sebesar dua milimeter dikesan lewat Ogos lalu pada dinding luar kapsul Soyuz Russia yang berlabuh di ISS selepas pengendali darat melaporkan penurunan sedikit paras tekanan.

Lubang itu sudah ditutup dengan pita dan perekat, menghentikan kebocoran oksigen dengan pihak berkuasa berkata, kru terkini terdiri daripada tiga angkasawan AS, dua Russia dan seorang Jerman, tidak berada dalam bahaya.

Rogozin sebelum ini menimbulkan kemungkinan tindakan sengaja dalam ulasan dilaporkan agensi berita Russia, RIA Novosti, yang memetiknya awal bulan ini sebagai berkata, jelasnya gerudi digunakan oleh ‘tangan menggigil,’ menyebabkan keluli di sekitar lubang dikikis. NASA enggan mengulas ketika itu.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :