SASTERA

Nekrofobia: Geraham Tuan Gegasi

Oleh Shahril Anuar

GARA-GARA sebatang geraham bawah yang goyah  mereput; persis mayat Doktor Girgan yang disembunyikan di dalam almari, lebih seminggu antagonis didera malam yang ngilu dan panjang. Setiap saat berdenyut lambat. Selama itu juga Tuan Gegasi langsung tak mengerti; bagaimana lubang sehalus pencungkil gigi itu boleh membengkakkan gusi. Perih merening. Menusuk nyaring ke tulang rahang. Mungkin syaitan sedang bersarang di dalamnya! Hamun Tuan Gegasi dengan bibir herot. Sebal. Pipi kanan terasa menebal; bagaikan seekor ulat sagu montok sedang Melekat tidur bersebelahan gusi.

Seperti Doktor Girgan yang dibunuhnya, mahu saja dia Menghancurkan seisi dunia. Tapi Tuan Gegasi tahu, itu sikit pun tak akan meredakan sengat yang semakin merenjat kejam. Terlantar dalam bilik tidur dikepung hawa mewah; dihurung busuk mayat yang semakin menguak, dirinya beransur rentan.

Mual; serentak bulur. Tubuh dan fikirannya semakin lumpuh. Namun, tidak sekali-kali dia akan melanggar sumpahnya.

“Celakanya, dunia dan kehidupan baru sahaja berada di bawah tudinganku…” Berkali-kali dia menyeranah dalam gumamnya, bagaikan wirid.

Lebih sebulan sebelum itu, di hari pengkebumian ayahnya, dia sempat terpana melihat manusia yang menakluk kekayaan yang bertebaran hampir tiga perempat wilayah di dunia itu bakal disemadikan. Betapa selama ini Tuan Gegasi menyangka kematian lelaki yang tak pernah pikun itu seolah-olah mustahil. Hidup taikun yang baru beberapa hari menggenapkan 99 tahun itu seakan-akan abadi. Tubuh dan fikirannya sentiasa tangguh. Serakahnya juga tak pernah surut. Hempedu dan bisa ular tedung ditelan mentah-mentah, kemudian dagingnya direbus bersama rempah dan herba terpilih, sebelum diratah dan dihirup supnya sementara panas; menjadi amalan seminggu sekali. Hidangan mahal yang disediakan pakar masakan dari Filipina itu pasti akan mengacungkan kelelakiannya berereksi sekental besi.

“Simbol kemegahan seorang hartawan?” soal ayahnya penuh karisma; layaknya seorang filsuf. “Makan dan senggama. Itulah seni kemewahan manusia bertamadun!”

Bukan sekali dia mendengar pengakuan bongkak itu. Tuan Gegasi sendiri meluat mendengar suara garau ayahnya melengking ketawa setiap kali usai kata-katanya. Walaupun dia sendiri penganut taat falsafah turun-temurun itu.

Jorok. Dalam istiadat penuh protokol, Tuan Gegasi tak dapat menangkis ingatan kurang sopannya dari terus menerpa. Lebih 66 tahun hidup di bawah bayangannya, tidak sahaja orang tua itu tak pernah sanggup melepaskan singgahsananya selama masih bernyawa; Tuan Gegasi juga masih dianggap budak mentah yang tak perlu diendah pendapat atau suaranya. Tetapi akhirnya, ayahnya; yang menguasai sumber kekayaan baik di pasaran bebas atau gelap, tumpar kerana hidangan eksotik ikan buntal.

Sebagai anak tunggal yang dimanja dan ditinggikan semua orang — kecuali ayahnya, Tuan Gegasi lebih teruja ketimbang murung. Lalu, hari itu berlalu seperti hari-hari yang lain. Malamnya, Tuan Gegasi sempat bermimpi muluk tentang hari depan.

Selama berkabung, benar-benar dia meraikan mimpi singkatnya.

Kurang lebih hanya dua minggu. Selama itu sahaja dia di puncak nikmat. Lebih tepat, itu sahaja waktu untuknya mengecap segala yang hampir seluruh usia diberahikan.

Segalanya diragut champange sejuk yang diteguk bersama  tetamu-tetamu terhormat makan malam di rumah agamnya — binaan moyang kepada moyang Tuan Gegasi. Degup pertama; singkat dan sayup. Seperti ilusi. Sempat menyentak; tapi langsung tak mengganggu.

Hampir setengah jam berselang, denyut di pipi menyucuk lagi. Lebih nyata dan berulang. Enggan menghilang. Bahkan semakin mengembang.

Bengkeng suara Tuan Gegasi bertempik mengarah keramaian dibubar sejurus hidangan istimewa disaji. Melihat wajahnya yang keruh berkerut, semua tetamu berhenti mencicip otak kera yang masih berdegup. Meninggalkan penyedut minuman bersama isi kepala monyet pengsan di dalam dulang masing-masing; beredar tanpa berani berkutik. Lelaki itu malah berkuasa mengarahkan perang dunia ketiga dilancar, kalau itu kemahuannya. Apatah lagi menamatkan nyawa seseorang. Itu jauh lebih mudah.

Sejak itu, denyut yang menyentap urat semakin terik. Tak kira berapa botol sekalipun alkohol ditogok.

Malam keempat. Penderitaannya tak lagi tertanggungkan. Bagaikan seluruh kesakitan di dunia berhimpun mengazab. Baring, meniarap, duduk, mundar-mandir; degup linu itu berdesing dan bersipongang merasuk benaknya. Satu-satunya keinginan Tuan Gegasi ketika itu: menamatkan segala penanggungannya.

Hari kelima. Sebelum matari mengerling hari, Doktor Girgan dihubungi. Dalam kantuknya, doktor peribadi keluarga itu datang tanpa sebarang bantahan.

“Gigi keparat ini mesti dinyahkan!”

Walaupun terpinga, Doktor Girgan tetap memeriksa geraham yang busuknya sudahpun melarat memakan akar. Goyang. Memang harus dicabut. Tetapi, benjol di gusinya menakung nanah. Tuan Gegasi harus menunggu hingga bengkaknya menyurut.

Tuan Gegasi terus mendesak. Bahkan mengugut: Jika bukan gerahamnya, nyawa doktor itu yang akan dicabut. Tak rela lagi dia diseksa walaupun semalam. Doktor Girgan cuba memujuk dengan pil pembunuh kesakitan; juga sempat menyarankan agar Tuan Gegasi menghentikan tabiat melahap hidangan ketika masih panas berasap. Giginya mereput kerana itu.

“Aku tak mahu pil pembunuh kesakitan. Apalagi nasihat! Aku mahu ubat pembunuh kematian!” jerkah Tuan Gegasi.

“Itu mustahil…”

Jengkel. Tanpa ragu Tuan Gegasi menembak doktor itu bertubi-tubi. Bahkan sempat tertanya sendiri: adakah usus dengan lohong-lohong peluru dari pistolnya itu sempat menjamah sarapan pagi?

Selesai mengheret mayat itu ke dalam gobok koleksi sut terbaiknya itulah dia mengikrarkan sumpah.

Tuan Gegasi tetap terlantar. Terus-menerus diganggu bayangan aneh. Di kepala meja, dia sedang mengorek bebola mata ikan paus sebesar telapak tangan di dalam mangkuk; yang dihidang mentah bersama lemon sebagai pembuka selera. Kemudian dengan gelojohnya dia menghabiskan stew gumpalan sperma ikan kod sebagai hidangan paling ekslusif, dan puding janin itik sebagai pencuci mulut. Masing-masing rakus mencicip tuak yang diawet bersama bangkai tarantula dan kala jengking.

Seperti dirinya, hadirin di meja itu semuanya lahap dan lapar.

“Cukup!”

Pagi baru menjelang. Entah berapa malam dia langsung tak melelapkan mata.

Tuan Gegasi semakin keliru.

Seperti munculnya, sakit itu mereda tanpa sebab yang dapat difahami. Bengkaknya beransur mengecut. Sesekali denyutnya lenyap. Seolah-olah langsung tak pernah muncul. Sekalipun kembali, renjatnya tidaklah segarang selalu. Azabnya berlalu bagaikan mimpi.

“Atau mungkin hanya delirium?” Tuan Gegasi tak lagi peduli.

Kesakitan dan makanan hanya mengingatkan dia kepada maut. Dia tak mahu mati seperti ayahnya atau Doktor Girgan. Tidak sekali-kali dia akan menyerah pada takdir atau fitrah sekalipun. Tak rela terlucut nyawa dan harta; Tuan Gegasi bersumpah demi epitaf ayahnya, tak akan lagi dia menjamah makanan.


Pengarang :