Ngopi sama Jokpin: Puisi harus merdeka! | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Ngopi sama Jokpin: Puisi harus merdeka!

Oleh Fazallah Pit

Foto oleh Sufian Abas

JOKO Pinurbo berseorangan ngopi ketika saya mampir di beranda kafe sebuah hotel di ibu negara sekitar jam 9 pagi. Selepas memperkenalkan diri, bertanya khabar dan berbasa-basi, kami mulai selesa lantas rancak ngobrol serancak tangan menenyeh puntung rokok ke asbak.


Tentang puisi terutamanya. Namun, tidak dapat tidak, banyak hal politik tersentuh oleh kami — ungkapan Orde Baru, Malaysia Baharu, Reformasi tidak lekang dari bibir, seperti rokok. Kami bertukar-tukar cerita, berkongsi resah tetapi tidaklah sampai berkongsi rokok. Seakan-akan menyambung diskusi di Rumah Seni Selangor (RUsSEL) dua malam sebelumnya; kamilah panelis, kamilah moderator dan barangkali penontonnya cuma beberapa pekerja hotel yang sesekali lalu lalang di meja kami.

Tidak seperti diskusi bertajuk Puisi Dalam Politik Baru, kali ini Jokpin banyak bertanya. Ketika di RUsSEL, Jokpin selaku panelis ditanya itu ini dan penyair terkenal Indonesia itu memberi jawapan walau beberapa kali kedengaran seperti kekok untuk mengikuti jalur pandangan panelis lain, Zaen Kasturi.

Zaen Kasturi, terkenal dengan antologi puisi Katarsis dan antologi cerpen Yuda kedengaran pesimis apabila puisi dan politik diseganding, lebih-lebih lagi dalam konteks Malaysia Baharu. Seolah-olah beliau mahu memberitahu hadirin, puisi harus terasing dan terpisah dari aspek luaran termasuk politik. Tidak mesti bersifat responsif atas isu semasa. Puisi harus mekar di jiwa, bukan ditangani atas landasan isu semasa. Beliau malah memetik ungkapan ahli falsafah Pakistan Muhammad Iqbal, “Bahasa lahir di tangan penyair, mati di tangan politikus.”

“Puisi harus merdeka, harus bebas,” ungkap Jokpin mematikan khayalan. Ungkapan itu disebutnya beberapa kali, baik di RUsSEL hinggalah ke kafe hotel di Brickfield.

“Jangan seperti zaman Orde Baru, puisi penuh kepura-puraan, tidak berkembang. Itu-itu sahaja,” katanya lagi, nadanya sedikit keras, dikeraskan.

“Semuanya harus seragam, seperti telah ada bentuknya. Sampaikan ada penyair yang tidak sedar, pola bahasanya tetap, gaya ekspresinya serupa,” katanya, mengulangi pandangannya di RUsSEL yang dihadiri begitu ramai penggiat seni, rata-ratanya anak muda.

Di mata saya, ternampak-nampak sebuah bangunan berhampiran satu persimpangan, tidak jauh daripada Hotel Mirama di ibu kota.

“Kalau puisinya tema agama, dakwah saja, jangan disentuh soal sosial,” kata Jokpin, menyalakan rokok, menghembus asapnya, kepulannya berselerak lalu hilang. Begitu juga bayangan bangunan bercacah mural pudar tadi; perlahan-lahan samar, bertukar menjadi bait-bait sajak Pemeluk Agama karya Jokpin.

“Puisi juga harus ada reformasi,” kata Jokpin yang kurang senang apabila dimaklumkan masalah hampir sama berlaku di Malaysia yang dibelenggu bermacam-macam tabu — mesti ada nilai-nilai murni dan entah apa lagi yang mengarut.

Pun begitu, Jokpin menegaskan penolakannya terhadap puisi dengan bahasa vulgar atau lucah ‘terlampau’ yang mengesamping nilai estetika atas nama kebebasan berkarya.

Sambil memuji bakat penulis muda Malaysia, beliau juga menceritakan anjurannya kepada penulis muda di bengkel anjuran RUsSEL supaya progresif dalam meneroka karya.

“Jangan terpaku kepada undang-undang puisi, kita bikin undang-undang sendiri aja,” katanya — serius dalam seloroh — sebelum tawa kami terburai hampir serentak. Terasa ada semangat marak di dada; tentu sekali yang membakar itu bukan bara rokok.

Merdeka yang dimaksudkannya bukan soal partisan atau isu “seni untuk seni” atau “seni untuk masyarakat” yang polemik itu tiada ada habisnya — baik di Malaysia mahupun Indonesia, sebaliknya Jokpin mahu penulis bebas meneroka pengucapan baru, metafora baru, tema baru dan bentuk baru.

“Biar puisi leluasa,” kata Jokpin.

Jokpin percaya puisi tidak akan maju jika ‘undang-undang’ puisi tidak boleh diubah sekalipun zaman beredar. Beliau agak gembira apabila dimaklumkan penulis muda kini jauh ‘lebih merdeka’ terutama menjelang Malaysia Baharu — perubahan tampuk politik tanpa jejeran darah seperti di Indonesia — yang sangat dikaguminya.

Beberapa kali mengeleng-geleng kepala dengan wajah sugul, beliau menceritakan penulisan puisi pada era Orde Baru harus benarin halusnya supaya tidak menggugat kekuasaan, tidak mendobrak tatasosial, supaya jangan sampai jadi Widji Thukul — dihilangkan.

Puisi jadi senjata?

 Harus sederhana, pesan Jokpin. Bergantung kepada kesesuaian, tahap keberanian individu dan kebijakan permainan diksi, katanya lagi. Pun begitu, Jokpin lebih senang untuk tidak frontal (terang-terangan) seperti WS Rendra atau Widji Thukul, cukup dengan kelicikan kata-kata yang menyusupkan kritik sosial dan politik kerana perlawanan di Indonesia sangat brutal. Jauh bezanya dengan Malaysia.

“Ngeri deh,” kata Jokpin, menyedut asap dalam-dalam sebelum menghembusnya, deras.

Saya lantas teringat kata-katanya di RUsSEL: “WS Rendra sendiri melawan kekuasaan dengan menjadikan dirinya suatu kekuasaan baru — kekuasaan bahasa.”

Justeru, ketika rejim Orde Baru masih mencengkam, Jokpin kerap menggunakan sudut pandang pertama berbanding sudut pandang ketiga supaya sajaknya tidak terkesan frontal. Ini berbeza dengan puisi perlawanan yang diksinya kurang memberatkan estetika, lebih polos dan kata-kata langsung ke muka penguasa.

Malah, Jokpin juga mendedahkan sebahagian teman-teman Widji Thukul yang dulu menadah dada melawan kekuasaan rejim, kini sudah bergabung dengan pemerintah, tidak lagi berontak dalam puisi.

“Saya lebih senang tidak terikat. Lebih merdeka,” katanya menghirup kopi kemudian cepat-cepat memberitahu bahawa Fitri Nganthi Wani, anak Widji Thukul, ada menerbitkan antologi puisi yang beliau anggap “bagus sekali.” Terlupa pula tanya terbitan siapa tapi judulnya “Kau Berhasil Jadi Peluru”.

Selepas Jokpin membetulkan silap identiti saya yang lebih kenal nama Fajar Merah, seorang lagi anak Widji Thukul yang aktif lewat muzik, beliau berkata ada yang lebih berbahaya daripada kuku rejim, mungkin.

Jokpin seakan-akan memberitahu tersungkurnya Orde Baru di kaki rakyat belum benar-benar memerdekakan seni termasuk puisi; masih ada kekangannya, malah dirasakannya lebih berbahaya daripada belantan rejim.

“Bedanya, bahaya bukan lagi datang dari atas (pemerintah) tapi horizontalnya (masyarakat sekeliling). Ini ‘kan zaman medsos (media sosial),” kata Jokpin.

Rupa-rupanya Jokpin bercakap tentang puisi agama. Ketara sekali, sensitiviti agama masih dikawat, ditaasubi semangatnya hingga sukar sekali menyentuhnya dengan kritis dan kreatif. Harus waspada sebelum masyarakat menjatuhkan hukum kepada penyair — sesat, munafik, antiagama.

Terasa benar suasana di Malaysia juga begitu (ingat Sidang Ruh?); sedangkan agama belum merdeka, masakan puisi agama dapat dibebaskan dari jargon dakwah yang selalu sangat terasa dibuat-buat.

Di dalam kereta menuju KLIA pula, sempat juga bertanya Jokpin tentang acara deklamasi di RUsSEL. Ternyata, beliau senang sekali — kreatif, gaya ekspresinya pelbagai rupa, paling penting, tidak teriak-teriak.

“Lucu, bait-bait sajaknya romantis tapi dibaca terjerit-jerit,” katanya berkongsi pengalaman menjadi juri deklamasi di Indonesia; seperti juga di Malaysia — deklamator harus ‘pekik’ untuk menang pertandingan.

“Banyaknya kerana pengaruh WS Rendra lewat sajak protesnya tapi dia juga tidak teriak-teriak saat baca sajak rindu-rinduan,” kata Jokpin lagi.

Beliau menyalahkan ajaran di sekolah yang masih menyeragamkan corak deklamasi puisi, kerana walau Orde Baru telah jatuh, jalur pemikiran lama masih tersisa dan pendukung aliran itu bersepah-sepah.

Apabila topik kembali seputar acara Selamat Menunaikan Ibadah Puisi: Sebuah Muzikalisasi pada malam sebelum pertemuan kami, Jokpin sempat kagum apabila diberitahu RUsSEL, juga anugerah Hadiah Sastera Selangor, terhasil atas usaha Amirudin Shari, bekas exco budaya dan kini ‘kepala’ (menteri besar) Selangor.

“Wah bagus sekali itu, pasti rancak sasteranya,” kata Jokpin sebelum turun kereta, check in dan mohon pamit, meninggalkan Malaysia Baharu, pulang ke negara sisa Orde Baru.

 *** Penulis adalah pengendali halaman sastera. Esei ini tidak dinilai untuk Hadiah Sastera Selangor

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

Berita Seterusnya

Perempuan samudera

BERITA BERKAITAN

Prev
Next