SELANGOR

ORS Kampung Hang Tuah tampung keperluan air

OLEH HAFIZAN TAIB

BESTARI JAYA, 1 OKT: Kolam takungan hiliran (ORS) Kampung Hang Tuah, di sini menjadi salah satu sumber alternatif bagi menampung keperluan air semula jadi, di Selangor.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor, Dato’ Ir Hashim Osman berkata, ORS berkeluasan 63.41 hektar itu turut dinobatkan sebagai pemenang bagi Anugerah Projek Terbaik Keseluruhan Majlis Persada Inovasi Selangor (MPIPPANS) tahun lalu.

“Ia bertujuan menjimatkan kos operasi pengepaman air kolam alternatif (OPAK) ke sungai yang tidak memerlukan jentera pengepaman.

“Selain dapat menampung air larian banjir, ORS ini juga dapat mengurangkan kebergantungan sumber air daripada pelepasan air empangan, justeru kualitinya dapat disimpan dan dioptimakan di samping meningkatkan kualiti air sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia 2018 Peringkat Selangor.

Beliau berkata, LUAS melihat ORS itu berpotensi bukan sahaja sebagai sumber air alternatif tetapi boleh dijadikan kawasan riadah bagi penduduk kampung terdekat, termasuk pelajar Universiti Selangor (UNISEL) memandangkan tiada kemudahan rekreasi disediakan di kawasan sekitar.

Katanya, ORS pernah dijadikan sebagai tapak pendidikan, latihan, sukan air dan rekreasi sumber air Selangor, pada 21 Februari lalu serta salah satu aktiviti sukan air iaitu Program Aktiviti Kayak dengan kerjasama Persatuan Kanu Selangor, pada 14 Mei lalu.

Ir Hashim berkata, program itu sekali gus meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan dan nilai sungai kepada semua kehidupan.

“Ia juga salah satu langkah proaktif dalam menggalakkan orang ramai untuk menghargai dan memelihara sungai supaya sentiasa bersih serta indah,” katanya.

Sambutan Hari Sungai Sedunia disambut pada Ahad minggu terakhir September, pada setiap tahun dan turut diraikan di lebih 60 negara, di seluruh dunia.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh serta Exco Kerajaan Negeri, Ir Izham Hashim dan Haniza Talha.


Pengarang :