SELANGOR

Padah tak jaga kebersihan, lima premis makanan diarah tutup

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LANGAT, 17 OKT: Membiarkan bahan mentah dihurung lipas, tiada suntikan Anti Typhoid, susun atur barang dan suhu peti sejuk tidak menepati piawaian ditetapkan, ditambah dengan persekitaran premis yang tidak dikawal dengan baik.

Itu antara kesalahan dikesan ketika Operasi Bersepadu Premis Perniagaan Makanan di beberapa restoran sekitar Sijangkang dan Telok Panglima Garang, di sini, sehingga memaksa lima daripada 10 premis restoran yang diperiksa diarahkan menghentikan operasi selama dua minggu berkuatkuasa serta-merta.

Arahan tutup serta-merta di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 2009 itu dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MDKL, Noor Hayati Ibrahim berkata, di bawah Pihak Berkuasa Tempatan itu pula adalah Undang-Undang Kecil Establisyment Makanan MDKL 2007 dan Undang-Undang Kecil (UUK) Pengendali Makanan MDKL 2007.

“Tindakan diambil pihak kami merupakan penutupan premis di bawah UUK 62 (A) dan (B), di mana terdapat beberapa buah premis yang dikesan terdapat hurungan termasuk lipas di premis.

“Pemantauan aspek kebersihan menunjukkan premis makanan ini tidak mengikut seperti garis panduan dan langkah kebersihan, manakala persekitaran premis tidak diselia dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Operasi Bersepadu Premis Perniagaan Makanan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Langat, Mohamad Farhan Kadri.

Mengulas lanjut, Hayati berkata, terdapat segelintir pemilik restoran yang tidak mahu memberi kerjasama dengan pihaknya semasa serbuan dijalankan.

“Pelbagai alasan lapuk diberi sebagai langkah mengelakkan daripada dikenakan tindakan pihak berkuasa dan ada yang memberi alasan premis mereka sudah lama tidak beroperasi.

“Malah, tidak kurang juga ada yang mendakwa restoran mereka tidak mempunyai bilangan kakitangan yang cukup untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pemeriksaan semula akan dijalankan bagi memastikan pihak premis mengambil tindakan sewajarnya seperti diarahkan pihaknya.

“Kami memberi tempoh selama 14 hari untuk mereka menjalankan kerja pembersihan, namun jika pihak yang diberi kuasa mendapati ia benar-benar bersih, maka premis terbabit boleh beroperasi semula sehari atau tiga hari selepas itu.

“Namun, premis restoran masih gagal membuat tindakan pembetulan, kami tidak teragak-agak untuk melanjutkan tempoh penutupan premis sehingga 14 hari lagi,” katanya.

Terdahulu, operasi berkenaan dijalankan bermula jam 9.30 dengan kekuatan kira-kira 15 kakitangan jabatan terbabit.


Pengarang :