NASIONAL

Pahang, Perak perlu henti keluar permit penerokaan tanah di Cameron Highlands

IPOH, 25 OKT: Kerajaan Pahang dan Perak diminta menghentikan pengeluaran permit baharu bagi penerokaan tanah untuk tujuan pembangunan serta pertanian di Cameron Highlands.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar berkata aktiviti penerokaan perlu dihentikan serta merta kerana kejadian tanah runtuh sering berlaku di kawasan tanah tinggi itu sejak kebelakangan ini.

Katanya Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah menitahkan kepada beliau supaya kelulusan untuk semua aktiviti pembangunan dan pertanian di kawasan tanah tinggi berhampiran sempadan Perak dihentikan segera.

“Kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands sudah biasa berlaku sekarang ini disebabkan penerokaan tanah yang semakin berleluasa.

“Saya meminta kerjasama daripada kedua-dua kerajaan negeri agar sering melakukan pemantauan di kawasan tanah tinggi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemasyhuran Geopark Lembah Kinta sebagai Geopark Kebangsaan yang disempurnakan oleh Sultan Nazrin Shah di Taman Reakreasi Gunung Lang di sini, hari ini.

Xavier berkata kajian mengenai kestabilan kawasan tanah tinggi itu perlu dilakukan secara menyeluruh sebelum tindakan susulan yang perlu dipersetujui oleh kedua-dua negeri.

Ini bagi memastikan kelestarian alam semula jadi di Cameron Highlands dapat dipelihara sekali gus tidak lagi terjejas dengan sebarang aktiviti penerokaan, katanya.

“Kementerian akan memberi kerjasama penuh kepada kedua-dua negeri untuk menstabilkan kawasan itu daripada berlakunya kejadian tanah runtuh selain kerajaan negeri perlu menguatkuasakan segala aspek undang-undang di Cameron Highlands,” katanya.

Semalam, satu kejadian tanah runtuh berlaku di Batu 51, Kuala Terla menyebabkan jalan utama dari Kampung Raja ke Cameron Highlands terpaksa ditutup sementara bagi tujuan pembersihan dan dibuka semula untuk semua kenderaan pada 8.55 malam tadi.

Satu kejadian tanah runtuh juga telah berlaku di Kampung Tiga, Terla, Cameron Highlands pada 14 Okt lepas yang mengakibatkan tiga warga Myanmar maut.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :