GLOBAL

Palu berdepan krisis kesihatan serius

JAKARTA 27 OKT: Bandar Palu terus dihimpit krisis kesihatan apabila kedatangan musim tengkujuh dikhuatiri menimbulkan ancaman wabak malaria dan demam denggi selepas wilayah itu dilanda gempa bumi dan tsunami sebulan lalu, kata agensi bantuan.

Pada 28 September lalu, gegaran berkekuatan 7.5 magnitud disusuli gelombang tsunami membadai Palu di pulau Sulawesi mengorbankan 2,200 orang dan menyebabkan lebih 220,000 lagi kehilangan tempat tinggal.

Beribu-ribu lagi masih hilang, dipercayai terkorban selepas sebahagian kawasan di pedalaman Sulawesi tenggelam akibat fenomena pencairan tanah.

Terdesak untuk membendung penularan wabak penyakit, minggu lalu pihak berkuasa menggugurkan bahan penyahjangkit dari helikopter di kawasan paling teruk terjejas di Palu. Pihak berkuasa percaya kira-kira 5,000 mayat dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan.

Agensi Mitigasi Bencana Indonesia berkata langkah itu penting untuk mencegah pembiakan lalat, lipas dan juga tikus yang berpotensi membawa penyakit.

Kumpulan bantuan bagaimanapun bimbang dengan peningkatan kes cirit-birit dan jangkitan pernafasan, selain kes disyaki bawaan nyamuk, termasuk malaria dan demam denggi.

Ramalan hujan monsun dalam beberapa bulan mendatang ini dikhuatiri memburukkan lagi keadaan.

Indonesia sebelum ini menjelaskan, kemusnahan di kawasan paling teruk terjejas mencecah AS$900 juta (RM3.7 bilion) sementara Bank Dunia menawarkan pinjaman sehingga AS$1 bilion (RM4.1 bilion) untuk membangunkan Palu.

Tujuh puluh peratus Palu sudah dibersihkan dan bekalan air akan kembali normal sepenuhnya menjelang Disember ini, kata Gabenor Sulawesi Tengah, Longki Djanggola.

Lebih daripada 1,400 khemah didirikan untuk kelas-kelas dan 1,200 tempat tinggal separuh kekal, setiap satu mempunyai 6 bilik dijangka siap dalam masa dua bulan lagi.

SUMBER: AFP


Pengarang :