SELANGOR

Pantau berterusan pastikan kilang plastik haram tutup sepenuhnya

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 29 OKT: Kerajaan Negeri akan melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan kilang haram yang mengitar semula sisa plastik dari luar negara ditutup sepenuhnya di seluruh negeri.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, Kerajaan Negeri turut mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar sentiasa memantau kilang berlesen diteruskan supaya tidak menyalahi undang-undang.

“Isu sisa plastik berkenaan bukan hanya di Kuala Langat, Klang dan Kuala Selangor tetapi isu di seluruh negara.

“Kerajaan Negeri mengambil tindakan tegas dan mengarah PBT terbabit antaranya Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) memantau kilang berlesen juga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat kepada pengusaha kilang dan mengadakan lawatan ke kilang haram terbabit, di sini.

Terdahulu, Stesen radio dan portal berita New Zealand, RadioNZ baru-baru ini melaporkan ribuan tan sisa plastik dari negara itu didakwa dibawa masuk ke Malaysia, selepas China mengharamkan pengimportan sisa plastik.

Laporan itu menyebut, hampir 40 kilang haram beroperasi di Jenjarom membakar dan membuang air tercemar selepas memproses sisa plastik itu.

Manakala, Kerajaan Negeri mengambil tindakan tegas dengan melakukan tiga operasi bersepadu ke atas kilang haram itu selepas menerima banyak aduan daripada orang awam.

Pada masa sama, Sze Han berkata, satu mesyuarat sudah diadakan untuk memutuskan sisa plastik berkenaan dibersihkan secara mungkin.

“MDKL turut membuka tender selama seminggu bermula hari ini kepada mana-mana kilang berlesen yang mahu membersihkan kawasan terbabit,” katanya.

Sebelum ini sebuah akhbar melaporkan hampir 300,000 penduduk di Kuala Langat terutamanya di Telok Panglima Garang dekat sini kini terdedah dengan risiko pelbagai jenis pe­nyakit termasuk kanser apabila daerah tersebut dijadikan tempat longgokan plastik kitar semula dari serata dunia.


Pengarang :