PENDIDIKANSELANGOR

Paradoxx Festival 2.0 UiTM kutip dana RM7,000

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 OKT: ‘Paradoxx Festival 2.0’ anjuran pelajar semester lima jurusan Pengurusan Acara Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam berjaya mengumpul RM7,000 bagi melaksanakan projek tahun akhir.

Program yang lebih dikenali sebagai P-Fest 2.0 itu berlangsung di Padang Kawad kampus berkenaan, pada 11 hingga 12 Oktober lalu.

Unit Perhubungan Awam P-Fest 2.0, Muhd Nabil Ashraf Suhaimi berkata, ia adalah kesinambungan daripada penganjuran P-Fest 1.0, pada penghujung April lalu.

“Inisiatif pelaksanaan program berbentuk ‘fundraising’ ini bertujuan memenuhi sukatan pembelajaran bagi keperluan kerja kursus, selain mengumpul dana menjayakan projek tahun akhir yang akan dijalankan hujung tahun ini.

“Sememangnya kami mengharapkan sokongan dan kerjasama daripada pelajar, justeru program selama dua hari ini dirancang khas buat semua pelajar serta warga UiTM Puncak Alam,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, P-Fest 2.0 dibarisi 11 ahli kumpulan ‘Paradoxx Ventures’.

Mengulas lanjut, katanya, lebih 50 peniaga mengambil bahagian dalam menjayakan program yang bermula seawal jam 5 petang hingga 11 malam itu.

Muhd Nabil berkata, sebanyak 38 kiosk dipamerkan khusus buat pengunjung untuk memberi galakan dan sokongan terhadap komitmen ‘Paradoxx Ventures’ itu.

“Walaupun dilanda hujan lebat pada hari pertama festival, namun pengurusan majlis tetap berusaha keras menjayakannya dan turut memastikan keselamatan peniaga serta pengunjung.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit secara langsung, mahupun tidak langsung dalam memastikan kelancaran program kami dan ia sudah tentu membantu kami membuat persiapan tugasan akhir nanti,” katanya.

P-Fest 2.0 turut digamatkan dengan pertandingan nyanyian daripada peserta UiTM Puncak Alam dan UiTM Shah Alam selain menyaksikan pembentangan teaser teater bertajuk ‘Bisikan’ daripada Fakulti Filem Teater dan Animasi (FITA).


Pengarang :