BERITA UTAMASELANGOR

Pasangan Diraja lelong koleksi kegemaran peribadi, dana haiwan terbiar

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Pasangan Diraja Selangor berkenan melelong koleksi kegemaran peribadi masing-masing sebelum hasil lelongan itu disumbangkan untuk membiayai kerja-kerja menyelamat haiwan terbiar di Selangor.

Pengerusi Bersama Stray Free Selangor (SFS), Datin Dr Norely Abdul Rahman berkata, dalam acara lelongan senyap itu membabitkan lukisan kegemaran Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, karya Haron Mokhtar dan tas tangan berjenama Stuart Weitzman Aztec milik peribadi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

“Harga rizab bagi lukisan kegemaran baginda Sultan Selangor ini ditetapkan pada harga RM10,000 dan tas tangan milik baginda Permaisuri pula RM5,000,” katanya pada acara SPCA Selangor Charity Gala di Hotel Concorde di sini, malam tadi.

Katanya, Persatuan Pencinta Haiwan (SPCA) Selangor berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM60,000 menerusi sumbangan dan lelongan senyap ketika acara itu berlangsung.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pencinta Haiwan (SPCA) Selangor, Christine Chin pula berkata, sokongan dan sumbangan baginda berdua memberi inspirasi kepada persatuan itu untuk lebih berusaha membela kebajikan haiwan terbiar.

“SFS menggalakkan pendidikan dengan unsur perikemanusiaan untuk membela nasib haiwan terbiar di Selangor sekaligus menggalakkan pemilikan haiwan liar dengan bertanggungjawab dan mewujudkan komuniti yang pengasih,” katanya.

Sementara itu, keberangkatan baginda berdua pada majlis itu diiringi Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berangkat dalam majlis yang berlangsung penuh gemilang itu.

Antara yang paling mendapat tumpuan, pertunjukan fesyen, nyanyian artis terkenal Raja Atilia, Datuk Dr Aljafri dan Donne Ray Radford of The Platters.


Pengarang :