EKONOMI

Pasaran getah diniagakan lebih tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Pasaran Getah Malaysia dijangka diniagakan lebih tinggi pada minggu hadapan selaras dengan jangkaan prestasi yang lebih baik di pasaran hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Harga komoditi itu turut diramal akan dipengaruhi oleh pergerakan harga minyak mentah dan prestasi ringgit, yang dijangka akan terus melemah, katanya.

“Nilai ringgit yang lemah berbanding dolar US mungkin akan menyokong permintaan terhadap komoditi itu dan musim hujan sekarang ini, diharap dapat membantu menyokong harga getah,” katanya kepada Bernama.

Untuk minggu yang baru sahaja berakhir, harga getah kebanyakannya didagangkan rendah, berikutan kesan daripada faktor-faktor luaran seperti prestasi pasaran serantau, pergerakan harga minyak mentah dan ringgit.

Semalam, Jabatan Perangkaan melaporkan bahawa stok getah asli Malaysia telah meningkat sebanyak 0.02 peratus kepada 185,670 tan pada Ogos 2018 berbanding dengan 185,640 tan pada akhir Julai.

Ia juga berkata pengeluaran getah asli bertambah 11.4 peratus pada bulan di bawah kajian kepada 62,862 tan berbanding 56,454 tan yang direkodkan semasa Julai. Pengeluaran dari tahun ke tahun menokok 2.9 peratus.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 merosot sebanyak 1.5 sen kepada 545 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun satu sen kepada 403.5 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang bagi SMR 20 naik tiga sen kepada 550 sen sekilogram, manakala lateks pukal bertambah sebanyak satu sen kepada 402.5 sen sekilogram.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :