GLOBAL

Paul Allen pengasas bersama Microsoft meninggal dunia

SAN FRANCISCO 16 OKT : Jutawan terkemuka, Paul Allen yang juga pengasas bersama gergasi perisian Microsoft meninggal dunia selepas sekian lama bertarung dengan penyakit kanser, semalam ketika berusia 65.

“Abang saya ialah seorang individu hebat dalam semua aspek. Ketika orang ramai melihat beliau sebagai pakar teknologi dan dermawan, pada kami beliau seorang abang dan bapa saudara yang sangat disayangi dan sahabat paling setia,” kata adiknya, Jody dalam satu kenyataan.

“Semua ahli keluarga dan sahabat handai amat bertuah dapat bersama serta mengenali lelaki ini yang mesra, suka berjenaka, pemurah dan prihatin. Dalam saat yang penuh menyedihkan ini, kami amat terhutang budi dengan keprihatinan dan kasih sayang yang beliau berikan selama ini,” katanya.

Allen menghembuskan nafas terakhir hanya dalam tempoh dua minggu selepas mengumumkan bahawa kanser limfoma yang berjaya disingkir sembilan tahun lalu menyerang semula dan menjejaskan keseluruhan sel darah putih miliknya.

Mendiang sebelum ini menguruskan perniagaan dan hal ehwal kebajikan di Vulcan Inc serta turut aktif membabitkan diri dalam Institut Allen yang mengkhusus kepada penyelidikan saintifik, selain bergelar pemilik kepada pasukan sukan profesional Amerika Syarikat (AS) iaitu Seattle Seahawks dan Portland Trail Blazers.

Beliau juga adalah sebahagian pemilik pasukan Seattle Sounders yang bermain dalam Liga Bola Sepak Utama.

“Kami semua sangat bertuah dapat bekerja bersama mendiang dan hari ini merasa satu kehilangan besar,” kata Vulcan dalam satu kenyataan, syarikat yang ditubuhkan Allen selepas meninggalkan Microsoft pada tahun 1983.

“Beliau memiliki kepintaran yang amat mengagumkan dan sentiasa berminat menyelesaikan antara masalah paling sukar di dunia dengan menggunakan kreativiti dalam berfikir serta pendekatan baru untuk hasil berkekalan,” kata syarikat itu lagi.

Forbes menganggarkan mendiang memiliki aset berjumlah AS$20.3 bilion (RM84.34 bilion). –

SUMBER: AFP


Pengarang :