SELANGOR

Pei Nei sedia hadapi cabaran besar terajui YAWAS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 OKT: Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) baharu, Gan Pei Nei merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri terutama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang melantik beliau memimpin agensi penting bagi meneruskan hasrat membantu kehidupan rakyat.

Katanya, lantikan itu merupakan amanah besar yang akan dilaksanakan sebaik mungkin selain membuat persediaan rapi dalam tempoh tiga bulan ini bagi membolehkan semua program dibawah kendalian YAWAS berjalan lancar.

“Terima kasih atas kepercayaan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melantik saya mengetuai YAWAS. Saya akan bertemu beliau yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah dalam masa terdekat untuk lebih memahami hala tuju YAWAS.

“Ini merupakan langkah baik Kerajaan Negeri untuk menempatkan lebih ramai wanita pada posisi utama dalam bidang korporat dan pastinya saya akan membuat persiapan untuk program akan datang selaras dengan hasrat Belanjawan 2019,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau yang melaporkan diri hari ini dan menyertai mesyuarat pertama pada sebelah pagi berkata, YAWAS akan memfokuskan beberapa perkara berkaitan kanak-kanak dan anak Selangor termasuk isu berkatian ibu bapa serta pengasuh.

Pei Nei percaya pengalaman sebagai ADN Rawang selama dua penggal sebelum ini membantunya mengatasi cabaran bersama dengan pasukan bagi melaksanakan perkara terbaik sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri.

“Terdapat sebahagian program dibawah Kerajaan Negeri merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan tetapi kita lakukan atas kapaisiti kedudukan kewangan yang ada sebelum ini.

“Kita akan lihat semula semua program dan ada yang mungkin dirombak dan distruktur semula supaya dapat dilaksana lebih baik. Isu berkaitan kanak-kanak pastinya dekat dengan saya tambahan baru sahaja bergelar seorang ibu,” katanya.

Dalam pada itu., Pei Nei juga berkata, YAWAS juga akan memberi tumpuan kepada kes pengasuh dan taska supaya dapat melahirkan pengasuh profesional serta terlatih selain memberikan penekanan terhadap program publisiti.

“Kita mahu semua pihak termasuk Ahli Dewan Negeri (ADN) dapat turun mendekati komuniti,” katanya.


Pengarang :