SELANGOR

Pekerja warga Nepal maut mesin pengering meletup

SHAH ALAM, 6 OKT: Seorang pekerja kilang warga Nepal maut apabila mesin pengering getah yang dikendalikannya meletup dan terbakar di Klang dekat sini petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang Zaidi Ahtan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 petang yang berlaku di sebuah kilang membuat alas lantai gelanggang sukan di Jalan Wawasan 3, Taman Sungai Kapar Indah, mangsa yang berusia 30-an itu maut selepas tercampak sejauh kira-kira 25 meter akibat letupan berkenaan.

“Mangsa ketika itu sedang mengendalikan mesin berkenaan dan mesin itu tiba-tiba meletup dan impak dari letupan dan penutup mesin berkenaan telah terkena mangsa dan dia meninggal di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Kata Zaidi, letupan itu turut mencederakan tiga pekerja kilang yang lain yang berada berhampiran mesin berkenaan.

“Tiga pekerja ini yang berumur lingkungan 30-an, seorang warga tempatan dan dua warga Nepal mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk menerima rawatan,” katanya.

Tambahnya, seramai lima anggota bomba bersama satu jentera bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.30 petang.

“Tibanya pasukan bomba di sana didapati kebakaran pada mesin pengering berkenaan telah dipadamkan oleh pekerja kilang, punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :