PBTSELANGOR

Pemaju digesa baiki cerun berisiko

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 OKT: Pemaju digesa membaiki semula cerun yang menyebabkan insiden tanah runtuh di kawasan perumahan Seksyen 7, Bandar Bukit Mahkota Cheras, pada 12 Oktober lalu.

Ahli Dewan Negeri Kajang, Hee Loy Sian berkata, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sudah mengeluarkan notis kepada syarikat pemaju supaya segera membaik pulih cerun itu bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Katanya, pemaju perlu melaksanakan kerja pembaikan dalam tempoh 14 hari atau bakal berdepan tindakan tegas jika gagal berbuat demikian.

“MPKj sudah melaksanakan penutupan cerun itu dan mengeluarkan notis arahan kepada pemaju untuk melaksanakan kerja membaik pulih mengikut Seskyen 70A Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Katanya, MPKj turut memohon untuk mengambil alih kawasan cerun terbabit sejak 2012, namun sehingga kini pemaju masih belum menyerahkannya.

Justeru, katanya, Pihak Berkuasa Tempatan itu akan mengadakan mesyuarat bersama pemaju terbabit dan persatuan penduduk untuk membincangkan isu terbabit, pada minggu hadapan.

“Seramai empat pemilik rumah yang berada di atas bukit juga bimbang dengan kejadian tanah runtuh ini jika kerja baik pulih tidak dilaksanakan segera,” katanya.

Dilaporkan, kejadian itu berpunca daripada hujan lebat dan sistem saliran tidak sempurna.


Pengarang :