NASIONALPENDIDIKAN

Pemakaian kasut sekolah warna hitam berkuat kuasa sepenuhnya 2021

PUTRAJAYA, 13 OKT: Pemakaian kasut sekolah berwarna hitam di semua sekolah kerajaandan bantuan kerajaan hanya akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 2021, kata Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM dalam kenyataan hari ini, berkata peraturan itu bagaimanapun akan dilaksanakan secara beransur-ansur bermula sesi persekolahan 2019 sebelum diperluas penggunaannya pada 2020.

“Dalam tempoh transisi tersebut, murid-murid masih dibenarkan untuk memakai kasut berwarna putih,” kata KPM.

Menurut kementerian itu lagi dalam tempoh tersebut juga pihak sekolah diminta tidak mengadakan peraturan atau memaksa murid memakai kasut berwarna hitam.

Ibu bapa juga dinasihatkan tidak tergesa-gesa menyediakan kasut berwarna hitam untuk anak-anak mereka memandangkan murid masih mempunyai pilihan untuk memakai kasut putih sehingga 2020.

KPM berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa, guru, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan pihak pembekal kasut sekolah.

Pada Julai lepas, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dilaporkan sebagai berkata lebih lima juta pelajar sekolah di seluruh negara akan memakai kasut hitam bermula tahun depan selepas mengambil kira keluhan ibu bapa mengenai tahap kebersihan kasut putih yang dipakai anak mereka.

Bagaimanapun, keputusan itu menimbulkan kebimbangan beberapa pihak termasuk Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) mengenai kemungkinan peruncit dan pengeluar di negara ini tidak mampu menampung permintaan terhadap kasut hitam.

Maszlee selepas itu berkata kerajaan bersetuju memberi kelonggaran selama setahun kepada semua pihak bagi pelaksanaan peraturan tersebut.

Menurutnya tempoh itu adalah bagi menyesuaikan pelbagai pihak terhadap peraturan baharu tersebut termasuk ibu bapa yang mungkin terbeban jika pelaksanaannya dilakukan secara drastik.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :