NASIONAL

Pemilihan KEADILAN: Pondok panas calon lawan bersebelahan namun kekal harmoni

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Bertarung di gelanggang politik tidak menghalang calon-calon Pemilihan KEADILAN 2018 bagi Cabang Batu bertanding secara sihat dan aman.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Amirudin Shari berkata, suasana seperti ini perlu dikekalkan dan dicontohi cabang lain.

“Ini yang sepatutnya ada kerana kita satu parti dan sepatutnya tidaklah tegang antara satu sama lain.

“Justeru, saya harap suasana ini dapat dikekalkan dan dapat dilihat contoh di Cabang Batu dapat berjalan dengan baik, aman dan tiada gangguan antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau proses pemilihan Cabang Batu di Dewan Orang Ramai Kampung Batu Muda, Sentul di sini, hari ini.

Amirudin berkata, selain tiada insiden tidak diingini, proses pemilihan di Cabang Batu juga dilihat teratur.

Tinjauan SelangorKini pada hari pemilihan di Cabang Batu mendapati proses pemilihan berjalan lancar dan aman.

Walaupun kedudukan pondok panas calon yang terletak bersebelahan antara satu sama lain namun didapati tiada sebarang unsur ketegangan antara satu sama lain.

Kemeriahan pemilihan cabang itu turut dimeriahkan lagi dengan aktiviti meraih undi oleh agen calon bertanding.


Pengarang :