EKONOMIRENCANA

Pemilik Restoran ‘Tuuu… Dia Pak Tam’ kongsi pengalaman berniaga

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 OKT: Mereka yang berminat menceburi bidang perniagaan khasnya golongan asnaf perlu mempunyai semangat cekal dan tidak mudah berputus asa.

Pemilik Restoran Tuuu… Dia Pak Tam, Ruslin Ibrahim berkata, kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha gigih dan berani menanggung risiko.

“Saya tidak menamatkan persekolahan di tingkatan enam rendah dan datang ke Kuala Lumpur tanpa apa-apa serta tanpa pengetahuan ibu bapa.

“Saya mula berniaga dengan modal RM45 tetapi hari ini Restoran Tuuu… Dia Pak Tam mempunyai 12 cawangan di empat negeri dengan 300 pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Transformasi Usahawan Asnaf (TUAS) 2018, di Setia City Convention Centre, di sini, semalam.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Tam berkata, selain memiliki rangkaian restoran, beliau turut mengusahakan perkhidmatan katering yang mampu mengendalikan lima majlis besar, pada satu masa.

Beliau yang kini berusia 56 tahun mula menceburi bidang perniagaan, seawal usia 20 tahun dan mengakui pernah gagal beberapa kali ekoran kekurangan ilmu perniagaan.

Antara perniagaan yang pernah diceburinya ialah menjual daging import selama sembilan tahun di pasar borong, menjual kamera di India dan berniaga mi rebus, pasembor serta mi sup.

“Pada masa itu, sangat kurang orang Melayu berniaga di pasar borong dan saya yang baru berusia lebih kurang 20 tahun merupakan antara Melayu pertama yang berniaga di situ,” katanya.

Bagaimanapun, perniagaan daging importnya menemui kegagalan akibat kekurangan modal pusingan disebabkan ramai peniaga yang membeli daging gagal membayar hutang.

Walaupun perniagaannya lingkup gara-gara hutang pelanggan, namun beliau mengambil pendekatan mengekalkan hubungan baik dengan mereka.

“Selepas itu, barulah saya cuba menjual peralatan kamera ke India tetapi hanya bertahan beberapa bulan sahaja kerana risiko tinggi ketika berhadapan kastam,” katanya.

Ruslin berkata, ketika itu beliau hampir terjebak dengan sendiket pengedaran dadah ke India yang menawarkan bayaran tinggi dengan hanya menjadi pengiring tetapi membatalkan hasratnya, pada saat akhir atas nasihat seorang rakan.

Beliau kemudian menerima panggilan daripada isterinya yang menggesa supaya pulang ke Malaysia untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di bawah pokok.

Akhirnya pada 1994, beliau dan isteri memutuskan untuk memulakan perniagaan rojak pasembor, mi rebus dan mi sup di bawah pokok dengan bermodalkan RM45 sahaja.

Percubaannya ternyata membuahkan hasil apabila perniagaannya semakin mendapat sambutan sehinggakan jualannya mampu mencecah lebih RM1,000 sehari.

Antara yang tidak dapat dilupakan ialah mencatu setiap sen yang dimiliki bagi memastikan kewangan perniagaannya berada dalam keadaan stabil.

“Pada masa itu saya serahkan kepada isteri untuk kawal perbelanjaan dan kami tetapkan wang untuk beli petrol hanya RM5 sehari.

“Maka, setiap hari saya mengisi minyak kereta sebanyak RM5 hinggakan kawan saya memanggil saya Pak Tam Lima Ringgit,” katanya.

Ruslin berkata, keadaan itu berlarutan selama beberapa tahun sebelum gerainya dirobohkan Pihak Berkuasa Tempatan kerana tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

“Namun, saya terima kejadian itu dengan positif dan selepas itu saya mula menyewa restoran pertama di Selayang,” katanya.

Katanya, antara cabaran paling berat diharunginya apabila terpaksa membayar cukai dan denda kepada kastam sebanyak RM750,000 akibat kurang pengetahuan berkenaan cukai.

“Saya tiada jalan lain melainkan terpaksa meminjam duit enam orang ‘ceti’ dan terpaksa membayar RM2.6 juta kepada mereka selama enam tahun.

“Selepas saya dapat selesaikan hutang, sesekali ceti itu menghubungi saya untuk menawarkan pinjaman tetapi saya tolak kerana rasa serik apabila terpaksa membayar hutang,” katanya.


Pengarang :