SELANGOR

Pemulihan air lebih 90 peratus di empat daerah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 OKT: Gangguan bekalan air di empat daerah iaitu Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat dan Petaling kini hampir pulih setakat jam 9 malam tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Abdul Raof Ahmad berkata, berdasarkan pemantauan di sistem agihan, peratus pemulihan bekalan air mengikut Wilayah adalah hampir 100 peratus pulih.

“Laporan setakat jam 9 malam tadi, Hulu Langat dilaporkan sudah 99 peratus pulih; Sepang (91 peratus); Kuala Langat (96 peratus) dan Petaling (92 peratus).

“Bagaimanapun, pihak kami berusaha mengambil segala tindakan perlu bagi mempercepatkan pemulihan bekalan ke kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, bantuan bekalan air kecemasan melalui lori-lori tangki air masih digerakkan sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

Untuk bantuan bekalan air, hantar SMS Tanker <Nama><Alamat> ke 15300 atau WhatsApp ke: 019-281 6793 atau 019-280 0919.

Layari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook “Air Selangor”, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor, yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store untuk maklumat yang akan dikemaskini dari masa ke semasa.


Pengarang :