SELANGOR

Pendaftaran Rumah SelangorKu di Cyberjaya mula dibuka

OLEH NADIAH ZAMLUS

CYBERJAYA, 27 OKT: Pendaftaran bagi Rumah SelangorKu untuk kawasan Cyberjaya mula dibuka, kata Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Norita Mohd Sidek.

Katanya, sehingga kini terdapat 864 unit rumah seumpama itu yang masih dalam pembinaan di kawasan Selangor Cyber Valley (SCV).

“Oleh itu bagi mereka yang ingin membuat pendaftaran bolehlah berkunjung ke Karnival Hartanah SCV sehingga hari esok.

“Jangan lepaskan peluang kerana terdapat pelbagai promosi lain turut dibuat PKNS,” katanya ketika sidang media.

Beliau berkata demikian selepas Karnival Hartanah PKNS Selangor Cyber Valley di Tasik Selangor Cyber Valley, hari ini.

Norita berkata, SCV dijenamakan semula daripada nama asalnya Taman Sains Selangor II serta dilancarkan oleh bekas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada Mac 2017.

Katanya, meskipun SCV masih asing di kalangan orang ramai, namun di bandar pintar itu sudah dibangunkan beberapa projek hartanah PKNS antaranya Pangsapuri Servis Mega (Vega Residensi 1 & 2).

“Matlamat karnival ini juga bagi memperkenalkan projek perumahan berkenaan, dan PKNS menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus kepada pembeli Vega Residensi 2 dan rebat sehingga RM800,000 bagi projek hartanah di Seksyen 13, Shah Alam iaitu Rumah Superlink 2 Tingkat.

“Oleh itu kepada peminat hartanah PKNS silalah rebut peluang keemasan yang ditawarkan oleh kami ini,” katanya.


Pengarang :