BERITA UTAMAPENDIDIKANSELANGOR

Pendidikan strategik pacu pembangunan, terajui dunia inovasi & teknologi

OLEH AFIX REDZUAN

BESTARI JAYA, 27 OKT: Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan kepada Universiti Selangor (UNISEL) sebagai jaminan setiap pelajar akan mendapat peluang pelajaran yang berkualiti di universiti ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata peranan pendidikan strategik penting untuk Selangor dalam menentukan hala tuju sebagai sebuah negeri maju di samping menerajui dunia inovasi dan teknologi khususnya dalam perkembangan bidang industri masa kini.

“Dasar pengindustrian Selangor menjurus kepada melaksanakan inisiatif baru yang melahirkan sumber daya manusia berkemahiran dalam bidang profesional dan juga tenaga pemikir.

“Diharap UNISEL menjadikan disiplin kejuruteraan dan teknologi sebagai niche utamanya bagi memenuhi tuntutan industri.

“ Saya yakin UNISEL mempunyai potensi untuk berkembang menjadi antara universiti terbaik dengan meningkatkan usaha penyelidikan, penerbitan jurnal bertaraf serantau dan membina rangkaian dengan universiti ternama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bersempena Istiadat Konvokesyen Ke-13 Universiti Selangor (UNISEL) di Dewan Canselor, Kampus Bestari Jaya.

Katanya, kejayaan sesebuah universiti turut bergantung kepada keupayaan melahirkan graduan berinovasi dan kreatif untuk mencipta pekerjaan.

“Atas kesedaran ini, maka UNISEL dituntut satu anjakan paradigma dalam menawarkan pengajian berasaskan industri, yang selari dengan perkembangan industri negara.

“Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, kita perlu bersedia dengan cabaran baru dan insaf bahawa cabaran kepada ilmu teknologi di abad ke-21 sangat hebat dan mencabar,” katanya.

Seramai 2,683 graduan layak menghadiri istiadat ini yang dirasmikan Canselor UNISEL, Yang Amat DiMuliakan (YAD) Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Bin Raja Tun Uda Alhaj.


Pengarang :