SELANGOR

Penduduk PJ disaran peka perubahan aliran trafik

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 29 OKT: Penduduk di sini dinasihatkan supaya peka dengan perubahan aliran trafik di Seksyen 17, Seksyen 19 dan Jalan Harapan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, bagi memudahkan pengguna jalan raya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudahpun memasang banting bagi tujuan berkenaan.

Katanya, perubahan aliran trafik itu bagi menyuraikan kenderaan serta mengurangkan risiko kemalangan.

“Namun perubahan jalan ini masih dalam peringkat kajian dan MBPJ mengharapkan maklum balas daripada orang ramai dalam tempoh dua minggu, sekiranya ia positif, barulah aliran trafik ini akan dikekalkan,” katanya.

Rajiv berkata, laluan jalan raya di ketiga-tiga lokasi itu tidak pernah berubah sejak 30 tahun lalu.

Katanya, melalui pelan yang dicadangkan pada 9 Oktober itu, pengguna kenderaan dari arah Jalan 19/13B yang hendak masuk ke Seksyen 17 perlu menggunakan laluan baru di Jalan 17/21J, bukannya dari Jalan 17/21L seperti sebelum ini.

Sementara pengguna dari arah Lebuhraya Sprint di Jalan Harapan tidak lagi boleh melencong di Jalan 17/21L.

Bagi pengguna di Jalan Harapan boleh melalui Seksyen 19 melalui Jalan 19/13 berbanding membuat pusingan U di Jalan 19/13B.

Orang ramai boleh menghubungi talian 0162167490 bagi memberi sebarang maklum balas.


Pengarang :