SELANGOR

Penduduk siap sedia awal hadapi gangguan bekalan air

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUCHONG, 9 OKT: Penduduk di sekitar Taman Perindustrian Puchong telahpun membuat persediaan awal bagi menghadapi ketiadaan bekalan air akibat dari kerja hentitugas loji rawatan Air Semenyih yang bermula hari ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, hasil tinjauan di sekitar perumahan tersebut mendapati penduduk tidak terkejut dengan ketiadaan bekalan air bermula jam 9 pagi tadi.

“Daripada maklumat yang diterima, hanya kawasan Puteri 6 sahaja yang sudah tidak mempunyai bekalan air sepenuhnya, namun di tempat-tempat lain, bekalan air masih ada, namun tekanannya agak rendah.

“Terima kasih kepeda Air Selangor kerana sudah membuat persiapan awal dengan menyalurkan pelbagai maklumat bagi membolehkan penduduk sedar dengan masalah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan ke Jalan Taman Perindustrian Puchong, di sini, pagi tadi.

Pada masa sama, Sze Han berharap supaya penduduk tidak bimbang dengan ketiadaan bekalan berkenaan memandangkan pihaknya turut menggesa kerja hentitugas itu dapat dilakukan segera.

“Kemungkinan esok bekalan air akan pulih seperti biasa, dan sekiranya penduduk di sekitar Puchong hendak mendapatkan bekalan air, mereka boleh ke Pusat Khidmat ADN Kinrara, Taman Permai Satu ataupun Jalan Bandar 1 Taman Wawasan,” katanya.

Sebelum ini SelangorKini melaporkan, pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan menghadapi gangguan bekalan air.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, ia berikutan hentitugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih bagi pelaksanaan kerja-kerja berjadual penggantian peralatan bermula jam 9 pagi hari ini.

Air Selangor menjangkakan kerja-kerja berkenaan dijangka mengambil masa selama 12 jam.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang di www.syabas.com.my, Facebook ‘Air Selangor’, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor, yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store, untuk makluman yang akan dikemaskini dari masa ke semasa.


Pengarang :