EKONOMI

Penganalisis: Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, walaupun kedudukan suram selain cabaran yang diharungi oleh pasaran modalnya disebabkan pengaliran keluar dana asing baru-baru ini berikutan perkembangan negatif di dalam dan luar negara, kata penganalisis.

Penganalisis MIDF Amanah Investment Bank Adam Mohamed Rahim berkata unjuran positif itu dibuktikan oleh indeks kecenderungan perniagaan dalam sektor perkhidmatan yang menunjukkan sentimen yang padu, selain perdagangan pengedaran yang baik.

“Berikutan kenaikan harga minyak, pelaburan dalam sektor minyak dan gas dijangka mendapat tarikan. Justeru, kami tidak menolak kemungkinan kedudukan ini dapat menarik minat asing ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pelabur bertindak balas secara negatif terhadap pembatalan kontrak kerja bawah tanah MMC-Gamuda bagi projek Mass Rapid Transit 2 (MRT2) oleh kerajaan, dan kerugian besar yang dicatat Wall Street dalam tempoh lapan bulan dan syarikat-syarikat teknologi yang terus merosot serta kebimbangan mengenai peningkatan kadar faedah.

“Pasa Khamis, bursa tempatan merosot lebih banyak berbanding rakan ASEAN, turun lebih daripada tiga peratus minggu ini, bermungkinan disebabkan isu MRT2,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata memandangkan dana asing sebahagian besarnya bergantung kepada sentimen yang berlaku sepanjang tempoh dagangan, sentimen pada minggu akan datang akan bertumpu kepada laporan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang mungkin akan memberi petunjuk mengenai hala tuju pelbagai sektor ekonomi di Malaysia.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pengumuman mengenai kajian semula RMK-11 pada 18 Okt akan memberi penjelasan mengenai arah tuju dasar, sekali gus memberi sokongan kepada ekuiti Malaysia.

Beliau berkata dana asing menjadi penjual bersih sejak Isnin hingga Khamis lepas dengan penjualan sebanyak RM2.83 bilion, jualan runcit sebanyak RM2.31 bilion dan jualan institusi sebanyak RM4.85 bilion.

“Ini didorong oleh faktor luaran. Ekonomi China yang suram menyebabkan Bank Rakyat China mengurangkan Nisbah Keperluan Rizab sebanyak 100 mata asas hujung minggu lepas,” kata Afzanizam.

Dalam negara, pelabur memberi reaksi bercampur-campur selepas kerajaan mengumumkan mengenai kemungkinan untuk memperkenal cukai baharu dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 Nov.

Sementara itu, Ketua Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamaruddin Mohd Nor berkata, kajian semula RMK-11 juga dijangka mendorong pengukuhan ringgit yang terjejas disebabkan faktor luaran.

“Berita positif dalam bentuk dasar yang jelas dan pengumuman projek akan merangsang pasaran,” katanya.

Beliau berkata prestasi ringgit pada minggu kebelakangan ini secara menyeluruh mengikuti pergerakan mata wang lain serantau, yang mengalami tekanan ekoran pengukuhan dolar US sejak beberapa bulan lepas.

Kamaruddin berkata indeks dolar US mencecah 3.12 peratus setakat ini berbanding sekumpulan mata wang utama lain yang didorong oleh normalisasi dalam kadar faedah US susulan data ekonomi yang baik manakala mata wang pasaran pesat membangun terjejas.

“Para pelabur tidak berminat untuk mengambil risiko ketika ketidaktentuan meningkat,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata tidak termasuk impak yang belum diketahui daripada kajian semula RMK-11, ringgit dijangka terus berada dalam tekanan dengan trajektori yang tidak banyak berubah pada julat dagangan antara 4.13 dan 4.16 berbanding dolar US minggu depan.

Sementara itu, Afzanizam berkata penjualan ekuiti merupakan fenomena yang berlaku di seluruh rantau berikutan ketidaktentuan, sekali gus pasaran ekuiti dijangkakan kekal lemah minggu depan.

“Pada masa ini, FBMKLCI dilihat dalam kedudukan terlebih jual, oleh itu ini menjelaskan pemulihan pada Jumaat dengan peningkatan 22.25 mata atau 1.3 peratus untuk ditutup pada 1,730.74 mata.

“Kami percaya nilai kembali muncul dengan nisbah harga kepada pendapatan FBMKLCI kini berada pada asas 16.4 kali ke atas pendapatan hadapan, yang berbeza daripada paras standard +1 sebanyak 17.1 kali,” kata Afzanizam.

Bagaimanapun, dagangan mengelak risiko akan terus menguasai sentimen pasaran, dan dengan itu ekuiti dijangka terus lemah dalam jangka pendek.

Secara teknikalnya, FBMKLCI mungkin berada masing-masing pada paras sokongan dan rintangan semasa pada 1,700 dan 1,745 mata minggu depan.

Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, Pensyarah Kanan dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Sekolah Perniagaan Putra, berkata walaupun pasaran tempatan menyaksikan lebih RM61.03 bilion permodalan pasaran hilang antara Rabu dan Khamis, keadaan tidak akan bertahan lama.

“Ini disebabkan apa yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) yang berpunca daripada gabungan isu dalaman dan luaran, tidak semestinya diterjemahkan sebagai fenomena di seluruh dunia,” katanya.

Sebagai contoh, Ahmed Razman berkata antara punca dalaman mengapa saham-saham AS menyusut adalah berpunca daripada kadar faedah Rizab Persekutuan yang semakin meningkat, yang menurunkan saham teknologi selain jangkaan pelabur yang terlalu tinggi.

Punca ini pastinya mengatasi sentimen ke atas perang perdagangan antara AS dan China serta sekatan yang akan berlaku ke atas Iran oleh AS.

Menurut adam, faktor luaran meliputi isu-isu membabitkan perang perdagangan dengan pelabur terkejut terhadap peningkatan hasil perbendaharaan AS, namun perkembangan terkini perang perdagangan antara AS dan China sudah pasti akan mempengaruhi pasaran tempatan.

Sementara itu, Afzanizam berkata perang perdagangan berterusan antara AS dan China kini memasuki dimensi baharu susulan laporan mengenai pencerobohan cip komputer baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Afzanizam berkata Tabung Kewangan Antarabangsa juga menurunkan unjuran pertumbuhan global sebanyak 0.2 mata peratusan untuk 2018 dan 2019.

Bagaimanapun, beliau berkata kadar faedah AS berkemungkinan meningkat pada Disember dan tahun depan memandangkan pasaran buruh yang kukuh serta tekanan inflasi yang meningkat berikutan peningkatan kadar upah.

Ahmad Razman berkata pasaran akan membetulkan kedudukanya, termasuk Dow Jones dan FBMKLCI, yang dijangka melantun semula seperti yang berlaku pada Jumaat.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :