EKONOMI

Pengukuhan dolar US kekang permintaan terhadap Ringgit

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Ringgit meneruskan aliran penurunan semalam untuk dibuka rendah berbanding dolar US pagi ini berikutan minat untuk mengambil risiko terhadap mata wang Amerika Syarikat (AS) itu mengukuh dengan harga minyak meningkat, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1400/1440 berbanding dolar US daripada 4.1380/1420 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA Stephen Innes berkata peningkatan dolar US dan hasil bon AS yang lebih tinggi mempengaruhi sentimen tempatan.

Beliau berkata Indeks Harga Pengeluaran China yang lebih rendah daripada jangkaan, yang diumumkan semalam, telah mempengaruhi sentimen.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0164/0195 daripada 3.0198/0238 pada Isnin dan naik berbanding euro kepada 4.7921/7979 daripada 4.8059/8118.

Mata wang tempatan, bagaimanapun, susut berbanding yen Jepun kepada 3.6332/6370 daripada 3.6295/6340 semalam dan rendah berbanding pound British kepada 5.3990/4046 daripada 5.3976/3049.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :