SELANGOR

Pengunjung Hospital Serdang disaran guna parkir MAEPS

OLEH NADIAH ZAMLUS

SERDANG, 3 OKT: Pengunjung Hospital Serdang disaran supaya menggunakan tempat letak kereta di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di situ.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kenderaan yang diletakkan di bahu jalan sebelum pintu masuk utama hospital seringkali menyebabkan kesesakan trafik termasuk menghalang ambulans apabila terdapat kes kecemasan.

“Saya ingin menyeru pengunjung hospital supaya gunakanlah kemudahan parkir yang disediakan di MAEPS ini.

“Difahamkan mereka turut menyediakan perkhidmatan ulang-alik (shuttle service) secara percuma ke hospital bagi memudahkan orang ramai,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu Unit Pengurusan Parkir MAEPS berkata, MARDI MAEPS Sdn Bhd menyediakan tempat letak kereta alternatif bagi pelawat dan kakitangan Hospital Serdang.

“Ia bertujuan bagi menampung keperluan parkir, di samping mengelakkan tindakan saman oleh pihak berkuasa kerana meletak kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan.

“Perkhidmatan ‘shuttle’ percuma disediakan daripada MAEPS ke lobi hospital bermula dari jam 6 pagi hingga 11 malam,” katanya.


Pengarang :