PENDIDIKANSELANGOR

Penuntut ‘UNISEL Athlete Academic Track’ raih dua emas di Varsity Boat Race

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 OKT: Penuntut program ‘UNISEL Athlete Academic Track’, Mohamad Amirul Norhadi, merangkul dua pingat emas dalam pertandingan Varsity Boat Race, yang berlangsung di Bukit Merah Laketown Resort, Perak, baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan berkata, dua pingat diraih atlet itu masing-masing menerusi kategori 2,000 meter perseorangan dan berkumpulan lelaki.

“Mohamad Amirul yang mewakili Malaysia dalam pertandingan berkenaan mendahului carta dengan catatan masa terpantas iaitu tujuh minit 48 saat bagi kategori individu (Men Single Scull).

“Bagi kategori berkumpulan (Men Eights) pula, beliau dan pasukannya berjaya mencatat masa enam minit 58 saat sekali gus meraih dua pingat emas bagi kedua acara tersebut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook

Hasril berkata, Amirul Norhadi merupakan atlet mendayung negara yang sedang melanjutkan pengajian di institusi terbabit di bawah program “UNISEL Athlete Academic Track”.

Katanya, program itu diadakan khusus kepada atlet untuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi dengan masa yang fleksibel.

“Semoga dengan kejayaan Amirul ini dapat memberi inspirasi kepada pelajar UNISEL yang lain untuk meraih lebih banyak kejayaan di masa hadapan,” katanya.


Pengarang :