BERITA UTAMASELANGOR

Penyelesaian jangka panjang atasi isu banjir – MB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

JERAM, 19 OKT: Kerajaan Negeri akan mencari mekanisme jangka panjang terbaik untuk menangani masalah banjir, di Kampung Bukit Hijau, di sini, secara menyeluruh.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pemantauan terperinci akan dibuat untuk mempertimbangkan projek tebatan banjir, khususnya di kawasan terbabit bagi mengelakkan kejadian sama berulang, pada masa hadapan.

Katanya, bencana itu bukan berpunca daripada longkang tersumbat mahupun permasalahan yang tidak mampu disiapkan sebelum ini, sebaliknya ia ekoran kadar hujan, di muara sungai terbabit.

“Ini bukan kali pertama, sebaliknya pernah berlaku, pada 2015 kerana Kampung Bukit Hijau mudah dinaiki air jika mengalami hujan lebat.

“Tetapi malangnya, kawasan kampung agak lembah sehingga memaksa air hujan melimpah keluar dan lambat memasuki ke dalam laut, sekali gus menyebabkan paras air laut naik sangat tinggi serta masuk semula ke kawasan penempatan penduduk,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pusat penempatan sementara mangsa banjir, di Balai Raya JKKK Bukit Hijau, di sini, semalam.

Sehingga kini, sebanyak 24 keluarga membabitkan 77 mangsa terjejas ditempatkan di Balai Raya berkenaan, sejak Ahad lalu.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, bagi menghadapi sebarang kemungkinan pertambahan penduduk terjejas ekoran banjir, mereka akan dipindahkan ke penempatan lebih besar dan selesa.

“Kita ada menyediakan tapak lebih besar iaitu sekolah berhampiran, namun penempatan di Balai Raya JKK lebih dekat dan setakat ini masih mampu menampung bilangan penduduk.

“Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana juga bersedia untuk membantu sebaik mungkin dan setakat ini saya amat berpuas hati dengan persiapan serta langkah dijalankan pihak mereka,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, sumbangan tabung bencana juga bakal disalurkan kepada mangsa terjejas yang berpindah ke pusat penempatan sejurus banjir beransur pulih.

Terdahulu, penduduk Kampung Bukit Hijau diulit resah apabila hujan lebat tanpa henti, pada Ahad lalu mengakibatkan banjir melanda penempatan mereka dan diarahkan untuk berpindah ke tempat lebih selamat.


Pengarang :