NASIONAL

Penyelewengan FELDA bakal dibongkar

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 12 OKT: Kerajaan akan membentangkan Kertas Putih bagi membongkar penyelewengan yang berlaku dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) tidak lama lagi.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya akan mengheret individu bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Di sini menyaksikan pertandingan tujuh penjuru. Bagaimana kita boleh memberi kemenangan pada orang yang ‘songlap’ duit FELDA.

“Mana wang Tabung Haji, FELDA? Apabila saya lihat nasib peneroka FELDA, saya terkejut kerana lihat institusi berjaya dalam sektor perladangan tetapi membuatkan 120,000 peneroka gawat.

“Mereka yang bertanggungjawab sila tampil ke muka pengadilan,” katanya pada ceramah Grand Finale di Bagan Pinang, di sini.

Terdahulu, Mohamed Azmin berkata, pembongkaran itu membabitkan saham FELDA Global Ventures (FGV) didagangkan pada harga RM4.55 sesaham kini tinggal RM1.30.

“Orang politik sudah menjual saham-saham mereka, yang sengsara adalah peneroka.

“Sebanyak 400,000 hektar ladang FELDA diletakkan dalam penyenaraian hingga FELDA hilang penguasaan dalam ladang-ladang. Ini termasuk pelaburan hartanah di Melaka, Sarawak dan London dengan belian berkali ganda,” katanya.

Pada masa sama, Azmin memberitahu, beliau sendiri akan turun padang bagi menerangkan kepada peneroka FELDA tentang apa yang sedang berlaku memandangkan masih ada peneroka yang tidak tahu perkara sebenar.

Azmin mengakui sedih dengan penyelewengan dalam institusi milik Melayu berkata, ia berlaku disebabkan masalah integriti dan tidak amanah.


Pengarang :