A
GLOBAL

Penyiasat Turki tinggalkan konsulat Arab Saudi selepas 8 jam

ISTANBUL 16 OKT: Sepasukan penyiasat polis dan pendakwa Turki dilihat meninggalkan bangunan konsulat Arab Saudi awal pagi tadi selepas menjalankan pemeriksaan selama lapan jam susulan kehilangan wartawan Jamal Khashoggi.

Mereka yang menjalankan siasatan bersama delegasi Arab Saudi kembali ke kenderaan masing-masing dan meninggalkan premis terbabit, kata koresponden AFP.

Pasukan berkenaan membawa beberapa contoh termasuk tanah dari taman di konsulat itu yang kemudiannya dibawa masuk ke dalam beberapa van.

Arab Saudi akhirnya bersetuju dengan siasatan berkenaan selepas kes itu mencetuskan kontroversi selama dua minggu susulan kehilangan Khashoggi yang dilihat memasuki premis berkenaan bagi menguruskan dokumen perkahwinan pada 2 Oktober lalu.

Konsulat itu secara diplomatik tertakluk di bawah bidang kuasa Arab Saudi.

Sesetengah media Amerika Syarikat (AS) melaporkan bahawa Arab Saudi sedang menimbang kemungkinan untuk mengaku bahawa Khashoggi meninggal dunia ketika proses soal siasat.

Negara yang kaya dengan hasil minyak itu sehingga kini menegaskan bahawa wartawan terbabit telah meninggalkan bangunan konsulat selepas menyelesaikan urusannya.

SUMBER: AFP


Pengarang :