PBTSELANGOR

Perhalusi cadangan kenaikan elaun Ahli Majlis

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 OKT: Kerajaan Negeri memandang serius isu permohonan kenaikan elaun yang diutarakan segelintir Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), di Selangor.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, cadangan itu perlu diperhalusi memandangkan kos sara hidup yang agak tinggi, di kawasan bandar.

“Namun, kita perlu melihat lebih lanjut kerana tidak semua Ahli Majlis melakukan kerja ini secara sepenuh masa dan kenaikan elaun ini perlu disemak mengikut prestasi kerja masing-masing.

“Untuk makluman, Kerajaan Negeri sudah menaikkan elaun Ahli Majlis PBT sejak 1 Mac 2017,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Majlis Perbandaran Selayang berhubung permohonan kenaikan elaun RM1,000.

Mengulas lanjut, katanya, semua Ahli Majlis yang ingin mengutarakan cadangan itu boleh berhubung secara terus dengan Kerajaan Negeri.

“Sebarang keputusan akan dibincangkan di peringkat Kerajaan Negeri sahaja dan sehingga kini, elaun bagi Ahli Majlis PBT, di bandar raya dan perbandaran ialah RM2,500, sementara bagi daerah ialah RM2,000.

“Manakala elaun mesyuarat pula RM150 bagi PBT kategori bandar raya dan perbandaran, daerah pula RM100,” katanya.


Pengarang :