SELANGOR

Perhebat program kesedaran anak istimewa

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri di Selangor disaran melaksanakan program kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat berhubung permasalahan kanak-kanak istimewa.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, hal itu bagi menerapkan kepentingan mendidik golongan berkenaan, selain menerima dan menganggap mereka seperti kanak-kanak normal.

Katanya, tahap kesedaran rendah dalam kalangan ibu bapa khususnya di luar bandar menyebabkan kanak-kanak itu sukar menikmati keperluan pendidikan.

“Kita tidak boleh meminggirkan mereka, sebaliknya bantu supaya mereka boleh mengharungi kehidupan seperti kanak-kanak normal lain.

“Kita juga tidak mahu kanak-kanak ini tertinggal oleh arus peredaran masa pada zaman ini,” katanya kepada Selangorkini.

Pada masa sama, Dr Mariah turut menasihatkan ibu bapa supaya mendaftarkan anak yang menghidap penyakit seperti autisme dan disleksia ke Jabatan Kebajikan Malaysia sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).

Katanya, ibu bapa juga perlu membuang sifat malu terhadap anak OKU bagi memastikan mereka menerima pendidikan dan latihan sewajarnya.

“ADN perlu buat program kesedaran ini menggunakan peruntukkan sedia ada dengan memanggil pakar untuk memberi taklimat berhubung isu terbabit.

“Masyarakat juga perlu memainkan peranan penting dan jangan pandang negatif kepada golongan istimewa ini,” katanya.

 


Pengarang :