NASIONAL

Perkhidmatan tren kembali beroperasi – KTMB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 OKT: Semua perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang tergendala kembali beroperasi seperti biasa, hari ini.

KTMB menerusi kenyataan berkata, insiden perlanggaran tren KTM Kargo no. 152 dengan tren KTM Komuter no. 2113 di Platform 2, Stesen Tanjung Malim menyebabkan sedikit gangguan pada jadual perkhidmatan yang melalui stesen itu.

“Kerja pengalihan gerabak dan baik pulih landasan berjaya diselesaikan pada jam 6.27 pagi ini,” katanya.

KTM Berhad juga memohon maaf atas kesulitan dihadapi penumpang dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200.

Semalam, kejadian yang berlaku pada jam 6.02 pagi, di Platform 2 stesen berkenaan menyebabkan lima daripada 20 penumpang tren komuter itu cedera ringan.

Tren kargo dengan muatan 30 gerabak itu dalam perjalanan dari Stesen Jalan Kastam ke Ipoh Cargo Terminal Ipoh, manakala tren komuter pula sedang bersedia untuk memulakan perjalanan ke Stesen Pelabuhan Klang yang dijadualkan, pada jam 6.05 pagi.

Kejadian itu adalah yang kedua dalam tempoh dua tahun selepas kejadian, pada Mei 2016 di Kuala Kubu Bharu.


Pengarang :