AGAMASELANGOR

Perlu dana tampung kebanjiran jemaah

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 31 OKT: Sebuah masjid di Taman Sri Puchong kini memerlukan dana bagi kerja pembinaan ekoran masjid sedia ada tidak mampu menampung bilangaan jemaah yang semakin ramai.

Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Mu’izz Taman Sri Puchong, Left Kol (B) Tunku Adnan Tunku Kassim berkata, masjid sedia ada mampu menampung kira-kira 1,500 jemaah sahaja, sementara sebuah lagi surau hanya memuatkan kira-kira 900 jemaah.

“Semua masjid dan surau mengadakan solat jumaat serentak, namun ia masih tidak mampu menampung jemaah, justeru pembinaan masjid baru ini sangat diperlukan umat Islam, di kawasan berkenaan.

“Dengan adanya masjid baru kelak, ia juga bakal menjadi institusi membina perpaduan masyarakat Islam di Puchong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Serahan Sumbangan Tabung Pembinaan Masjid Taman Sri Puchong oleh Persatuan Usahawan Waris Negeri Sembilan (PUWAS), di Centrepoint Bandar Utama, di sini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya sudah membuka tabung bagi membolehkan orang ramai membuat sumbangan bagi membolehkan kerja pembinaan dijalankan secepat mungkin.

“Masjid ini akan dibina jika peruntukan sudah mencukupi dan kita berharap orang ramai dapat memberi sumbangan bagi menjayakan pembinaannya,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan kepada Akaun Maybank Al-Wadiah, 5644-1860-7671 (Tabung Pembinaan Masjid Taman Sri Puchong).


Pengarang :