NASIONALRENCANA

Perlu teladani kisah Mandela dan Springboks

OLEH NAZLI IBRAHIM

Menyatukan rakyat dengan semangat ‘Malaysia Baharu’ bukan perkara mudah terutama selepas lebih 60 tahun rakyat negara ini didoktrinkan dengan orientasi perkauman sebagai modus operandi bagi memastikan kelangsungan kuasa pentadbiran lalu.

Cabaran sama, malahan lebih perit daripada itu turut ditempuhi bekas presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan, Nelson Mandela, atau nama sebenarnya, Rolihlahla Mandela, selepas berjaya membebaskan negara itu daripada cengkaman Rejim Aparteid.

Bahkan, Mandela yang mesra dengan panggilan ‘Madiba’ (sempena suku kaum) atau ‘Tata’ (bapa) oleh pengikut beliau juga pernah dipenjara selama 27 tahun oleh Rejim Aparteid akibat mengetuai penentangan terhadap rejim itu sebelum dibebaskan, pada 11 Febuari 1990.

Walaupun Mandela dan masyarakat kulit hitam diberikan layanan buruk di era Aparteid tetapi beliau penuh yakin dan percaya membalas dendam bukan jalan terbaik untuk menyatukan negara itu.

Sama seperti Malaysia Baharu yang lahir selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), era ‘Afrika Selatan Baru’ juga bermula selepas kemenangan African National Congress (ANC) dalam pilihan raya negara itu pada 1994 sebelum Mandela dipilih sebagai presiden.

Sebaik mengambil alih tampuk pemerintahan Afrika Selatan, cabaran paling besar dihadapi Mandela adalah bagaimana untuk menyatukan masyarakat majoriti kulit hitam dan minoriti kulit putih negara itu.

Hal ini kerana, walaupun negara itu kini bebas daripada belenggu Aparteid, namun kesan yang ditinggalkan bukanlah sedikit, malahan terus menjadi taboo masyarakat Afrika pasca Rejim Aparteid seperti dijelaskan dalam biografi, ‘Playing the Enemy: Nelson Mandela and the Game That Made a Nation’ karya John Carlin.

Kesan mendalam yang ditinggalkan dapat dilihat apabila ianya bukan sahaja berlaku dalam kalangan rakyat biasa sahaja, malahan turut terjadi dalam kalangan anggota pasukan pengawal pengiring khas presiden sendiri.

Kepercayaan kunci satukan rakyat 

Keadaan ini berlaku apabila pasukan khas itu yang pada awalnya hanya dianggotai pegawai polis khas berkulit hitam terpaksa menerima kemasukan beberapa anggota berkulit putih yang berpengalaman menjaga keselamatan orang kenamaan di era Aparteid dahulu atas arahan Mandela sendiri.

Keputusan Mandela untuk turut menggunakan khidmat pegawai polis khas kulit putih itu sangat mengejutkan orang-orang kepercayaan beliau sendiri.

Beberapa orang kepercayaan Mandela menganggap langkah itu suatu keputusan membahayakan beliau sendiri kerana meletakkan tanggungjawab keselamatan di bahu ‘musuhnya’.

Bagaimanapun sebaliknya, Mandela pula berpendapat, kepercayaan adalah kunci penting untuk rakyat di negara itu menjalin hubungan erat antara kaum.

Justeru bagi Mandela, beliau sendiri harus memulakan langkah pertama dengan meletakkan kepercayaan kepada pegawai keselamatan khas kulit putih bergandingan dengan pegawai khas kulit hitam untuk menjaga keselamatannya.

Walaupun sedikit tegang pada awalnya, namun sikap profesional antara pegawai kulit hitam dan kulit putih serta keperibadian Mandela sendiri berjaya membuatkan anggota pasukan itu mengenepikan perbezaan warna kulit masing-masing.

Pendirian Mandela ketika itu mengejutkan banyak pihak apabila dilihat seolah-olah terlalu ‘memberi muka’ kepada pihak yang melakukan penindasan kepada penduduk kulit hitam dan pihak bertanggungjawab memenjarakan beliau.

Beri sokongan terbuka kepada Springboks 

Pada peringkat ini, antara pendirian Mandela yang paling hangat diperdebatkan masyarakat kulit hitam membabitkan keputusan beliau memberi sokongan penuh kepada pasukan ragbi kebangsaan Afrika Selatan yang terkenal dengan jolokan ‘The Springboks’.

Sebelum ini, pasukan Springboks dibenci Mandela dan masyarakat kulit hitam kerana pasukan itu didominasi pemain kulit putih dan dianggap sebagai lambang penindasan serta penguasaan golongan minoriti, di Afrika.

Pendirian terbaru Mandela itu sudah tentu menghairankan dan tidak disenangi masyarakat kulit hitam.

Malah, warna jersi tradisi pasukan itu berwarna hijau dan keemasan turut menjadi kebencian masyarakat kulit hitam.

Pendirian itu bukan sahaja tidak disenangi masyarakat kulit hitam Afrika dan orang-orang kepercayaan beliau sahaja, malahan Kapten Pasukan The Springboks, Francois Pienaar, sendiri terpaku dan seolah-olah tidak percaya apa yang didengarnya.

Sokongan tidak berbelah bahagi untuk pasukan itu mengejar kejuaraan dalam kempen Piala Dunia Ragbi 1995 itu diluahkan Mandela sendiri kepada Francois ketika beliau diundang minum teh, di Pejabat Presiden, pada suatu petang.

Mandela yang menyedari Afrika Selatan adalah tuan rumah kejohanan itu melihat ini sebagai peluang terbaik untuknya menyatukan rakyat, di bawah satu bendera.

Cabaran Mandela itu disambut Francois dan selepas itu menyaksikan Francois terpaksa berhadapan dengan karenah rakan sepasukan yang kebanyakannya mempamerkan sikap dingin terhadap sokongan presiden baru mereka.

Sehingga pada suatu tahap, anggota pasukan Springboks membuang lirik lagu kebangsaan Afrika Selatan yang baru apabila Francois meminta mereka menghafal lirik lagu itu sepertidigambarkan dalam filem diadaptasi biografi sama berjudul ‘Invictus’ arahan Clint Eastwood.

Bagaimanapun, kebijaksanaan dan langkah diambil Mandela seperti mengadakan lawatan mengejut ke kem latihan Springboks bagi memberi kata perangsang beberapa hari sebelum menjelang perlawanan pertama kejohanan itu berjaya memenangi hati anggota pasukan Springboks.

Lebih mengejutkan lagi pemain, ketika bersalaman, Mandela sendiri menyebut nama setiap pemain tanpa diperkenalkan Francois.

Sebelum itu, Mandela turut mengarahkan Springboks mengadakan jelajah untuk bertemu penduduk di kawasan berpendapatan rendah yang majoritinya didiami masyarakat kulit hitam bagi merapatkan lagi hubungan antara kaum.

Springboks raih sokongan rakyat

Pada peringkat awal jelajah itu, mereka menerima sambutan agak dingin tetapi akhirnya berjaya menarik perhatian dan mendapat liputan media, sekali gus meningkatkan sokongan masyarakat kulit hitam terhadap Springboks.

Perlawanan akhir Piala Dunia Ragbi pada 24 Jun 1995 yang disiarkan ke seluruh negara itu tentunya menjadi antara detik paling diingati seluruh rakyat Afrika Selatan.

Buat pertama kali, Mandela menyarung jersi dan topi Springboks yang pernah dibencinya di hadapan 60,000 rakyat Afrika Selatan di Stadium Ellis Park, Johannesburg, sebelum perlawanan akhir dimulakan.

Akhirnya, pada perlawanan akhir itu menyaksikan pasukan yang menjadi kebangaan seluruh rakyat Afrika Selatan itu berjaya muncul juara selepas menewaskan pasukan gergasi dunia iaitu New Zealand yang terkenal dengan jolokan ‘All Black’ dengan jaringan 15-12.

Ironiknya, pada masa itu masyarakat kulit hitam bergembira meraikan kemenangan sebuah pasukan yang kebanyakannya diwakili pemain kulit putih kecuali Chester William, seorang pemain sayap berkulit hitam.

Begitu juga masyarakat kulit putih dengan bangga meraikan kemenangan itu sebagai rakyat Afrika Selatan Baru yang bersatu walaupun majoriti penduduknya berkulit hitam.

Saat itu, rakyat Afrika Selatan Baru tanpa mengira warna kulit bersalaman dan berpelukan sesama mereka meraikan kemenangan itu dengan satu semangat baru yang tidak pernah disaksikan, di Afrika Selatan.

Walaupun tanggal 24 Jun 1995 itu bukan noktah penamat mutlak akan kewujudan isu perkauman di Afrika tetapi ia detik permulaan melahirkan Afrika Selatan yang lebih harmoni berbanding sebelumnya.

Detik itu membuktikan kesatuan rakyat dengan melupakan perbezaan warna kulit berjaya membawa Afrika Selatan ke era lebih gemilang.

Kesatuan rakyat tunjang kekuatan Malaysia Baharu

Sama juga dengan Malaysia Baharu, negara ini tidak akan mampu berdiri megah hanya bersandarkan kepada kekuatan satu kaum sahaja tetapi persefahaman antara semua kaum adalah tunjang paling utama kepada negara dan kerajaan yang ada hari ini untuk terus berdiri tegak.

Kita sudah tentu tidak boleh menunggu saat Harimau Malaya muncul juara Piala Dunia FIFA untuk bersatu tetapi usaha menyatukan semua bangsa di bawah jalur gemilang harus diperkukuhkan setiap masa bukannya sekadar menantikan ketibaan 31 Ogos dan 16 September setiap tahun.

Seperti Afrika Baru, suka atau tidak, semua pihak di Malaysia Baharu, khasnya golongan yang gemar memainkan sentimen perkauman demi kepentingan politik harus menerima kenyataan bahawa bumi Malaysia ini milik semua.


Pengarang :