NASIONAL

Persekutuan beri pinjaman RM22.5 juta kepada Kelantan

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Sebanyak RM22.5 juta pinjaman diberikan kepada Kerajaan Kelantan dari Kerajaan Persekutuan bagi tahun ini, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, pemberian itu dipohon negeri terbabit pada Jun lalu bertujuan membayar gaji kakitangan mereka.

“Jika diikutkan, sebelum ini mereka memohon pinjaman pengurusan termasuk pembayaran gaji RM24.5 juta, namun Kerajaan Persekutuan cuma meluluskan RM22.5 juta kerana kita mahu memberinya dengan kadar segera supaya gaji kakitangan mereka dapat dibayar,” katanya pada Sidang Media di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Guan Eng turut berasa kesal terhadap dakwaan beberapa barisan kepimpinan PAS Kelantan yang menuduh beliau anti-Melayu dan anti-Islam.

“Mereka kata saya anti-Melayu dan anti-Islam sedangkan saya sudah sebut fakta serta angka.

“Malah, Kerajaan Persekutuan juga sudah menghulurkan bantuan jadi kenapa timbul soal agama juga kaum?,” soalnya.

Semalam, Guan Eng berkata, Kelantan sudah menerima RM398 juta secara keseluruhan sebagai inisiatif daripada Kerajaan Persekutuan seperti diterima negeri-negeri lain dalam Malaysia.

Turut termasuk dalam pemberian RM398 juta itu adalah pemberian defisit sebanyak RM59.9 juta kerana hasil kerajaan Kelantan tidak mencukupi untuk membayar perbelanjaannya, termasuk gaji dan emolumen.

Kerajaan Persekutuan juga meminjamkan RM100 juta dana tambahan sebagai pinjaman pendahuluan untuk menampung perbelanjaan Kerajaan Negeri.

Sehingga 31 Dis 2017, Kerajaan Kelantan masih belum membayar balik pinjaman pendahuluan RM388 juta, yang menjadikan Kerajaan Negeri itu sebagai penghutang terbesar pinjaman pendahuluan.


Pengarang :