PENDIDIKANSELANGOR

Persidangan meja bulat teliti semula skop penghantaran pelajar ke Timur Tengah

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Kerajaan Negeri sudah berbincang bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di bawah bahagian pendidikan agama dan semua agensi yang terbabit dengan pendidikan untuk melaksanakan persidangan meja bulat khas.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia bagi meneliti semula beberapa perkara membabitkan pengkhususan terutama penghantaran pelajar ke Timur Tengah.

Beliau berkata, antara yang bakal diberikan penekanan adalah melebarkan jumlah universiti yang disarankan, menyeimbangkan jumlah pelajar di semua tempat dan meningkatkan pengurusan pelajar, di sana.

“Di Mesir sahaja, kita ada kira-kira 2,000 pelajar yang berdaftar di bawah Kerajaan Negeri dan akan melihat kaedah bagi mendaftarkan mereka yang belum mendaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat ke Pejabat Atase Pendidikan (Selangor) dan Pelancaran Projek Naik Taraf Kafeteria Asrama Selangor kepada Pusat Aktiviti Pelajar Selangor, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin; Timbalan Pengarah (Pengurusan) JAIS, Azlinda Azman; Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry dan Atase Pendidikan (Selangor), Mohd Yasser Abdul Ghani.

Terdahulu, Amirudin diberikan taklimat khas oleh Mohd Yasser berhubung perkembangan terkini pelajar negeri itu di Mesir selain dibawa melihat keadaan asrama yang menempatkan kira-kira 300 pelajar.

Pada masa sama, beliau turut melawat sekitar tapak projek naik taraf kafeteria dan beramah mesra dengan pelajar juga pimpinan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir.


Pengarang :