EKONOMINASIONAL

Pertumbuhan eknomi perlu seiring peningkatan kuasa beli rakyat

KUALA LUMPUR 8 OKT: Malaysia perlu melihat semula langkah mengimbangi ekonominya dengan melalui sektor baru yang boleh meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI), menyediakan pekerjaan, melonjakkan kemampanan dan mempertingkat pengeluaran, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata selain itu sektor elektrik dan elektronik yang mengalami kelembapan eksport berbanding komoditi, juga perlu dikaji semula.

“Kita tidak memerlukan aliran masuk modal jangka pendek walaupun ia menggalakkan pasaran saham namun ia tidak mampan.

“Apa yang kita perlukan adalah FDI jangka panjang baru yang mampan bagi negara, dan teknologi tinggi merupakan cara untuk maju,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Forum Megatrends Khazanah 2018 bertema ‘On Balance: Recalibrating Markets, Firms, Society and People’ di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Azmin berkata sektor elektrik dan elektronik yang mencatatkan 60% daripada jumlah eksport pada awal 2000 susut kepada 40% setakat 2017, manakala komoditi yang hanya merupakan 13% daripada jumlah eksport meningkat kepada 20 peratus bagi tempoh yang sama.

Beliau berkata, Malaysia berpegang kepada kedudukan pertumbuhan ekonomi sebenar juga perlu seiring dengan peningkatan kuasa beli rakyat.

Oleh itu, pertumbuhan dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sahaja tidak boleh dianggap berjaya melainkan ia merealisasikan manfaat sebenar untuk rakyat, katanya.

“Kita perlu menangani jurang pertumbuhan di seluruh negeri serta pendapatan, khususnya kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40), pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia serta kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Azmin berkata, kerajaan kekal menekankan Malaysia perlu terus berkembang dan mengatasi perangkap berpendapatan pertengahan dalam usaha menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dan maju.

“Malaysia masih terbelenggu dalam pendapatan pertengahan memandangkan kita belum mampu berubah ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Jelasnnya, setakat 2017, KDNK per kapita seperti yang dinilai dari segi dolar AS nominal susut kepada 9,944 daripada setinggi 11,183 pada 2014,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :