GLOBAL

Peru keluar waran tangkap antarabangsa terhadap Hinostroza

LIMA, 19 OKT: Cawangan Kehakiman Peru meluluskan permintaan Kementerian Awam negara itu supaya mengeluarkan waran tangkap antarabangsa terhadap bekas Hakim Mahkamah Agung, Cesar Hinostroza yang kini dilaporkan lari ke Sepanyol.

Perdana Menterinya, Cesar Villanueva berkata, bekas hakim itu dilaporkan meninggalkan negara berkenaan melalui pintu sempadan di utara secara haram, pada 7 Oktober lalu.

Dalam satu siri rakaman audio dikeluarkan TV Panorama dan laman sesawang kewartawanan penyiasatan IDL-Reporteros, Hinostroza didakwa berunding dengan seorang individu dan menerima habuan untuk mengurangkan hukuman ke atas pesalah rogol kanak-kanak.

Pada 4 Oktober lalu, Kongres Peru meluluskan pemecatan Hinostroza selain dilarang memegang jawatan awam selama 10 tahun serta dituduh terbabit dalam jenayah terancang.

Sementara itu, Presiden Peru, Martin Vizcarra melalui Twitter berkata, pihaknya tidak akan berputus asa memerangi rasuah.

“Pihak yang didapati melindungi Hinostroza juga akan berdepan tindakan dan perlu bertanggungjawab atas tindakan mereka,” katanya.

 


Pengarang :