NASIONALSUKANKINI

Peserta LiSUS dipanah petir meninggal dunia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 OKT: Mangsa panahan petir Liga Sukan Untuk Semua (LiSUS), Faizal Alli dari Sabah disahkan meninggal dunia, hari ini.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan berkata, mangsa yang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif, Hospital Canselor Tuanku Muhriz sejak petang Sabtu lalu menghembuskan nafas terakhir, sekitar jam 11.02 pagi tadi.

“Dukacita dimaklumkan salah seorang mangsa terbabit iaitu Faizal disahkan meninggal dunia.

“KBS akan mengambil tindakan selanjutnya bersama keluarga bagi urusan penghantaran pulang jenazah untuk dikebumikan di Tawau, Sabah.

“Salam takziah diucapkan dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Faizal, 41, bersama dua lagi peserta futsal LiSUS dipanah petir ketika kejohanan berlangsung di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil.

Dua lagi mangsa, Nurrizati Kamsani dari Terengganu dan Abd Wahid Habib Abdullah dari Sabah turut cedera serta dibenarkan pulang selepas dirawat, pada 13 Oktober lalu.


Pengarang :