PBTSELANGOR

Pesta Sayap Kuala Selangor bakal temui pencinta burung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 18 OKT: Orang ramai dipelawa hadir memeriahkan Pesta Sayap Kuala Selangor 2018 yang bakal diadakan di Taman Alam Kuala Selangor, di sini, bermula jam 8 pagi hingga 6 petang, pada 20 dan 21 Oktober ini.

Program anjuran Majlis Daerah Kuala Selangor itu mendapat kerjasama hebat Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan sebuah organisasi pemuliharaan habitat burung yang bertapak di United Kingdom, iaitu ‘BirdLife International’ serta East Asian-Australasian Flyway Partnership.

MNS melalui laman sesawangnya berkata, pesta itu akan mengetengahkan tema ‘Welcome to the birds’, Menyatukan Suara Kita Untuk Konservasi Burung.

Katanya, acara tahunan pada Oktober setiap tahun itu bertujuan meningkatkan kesedaran berkenaan burung migrasi dan memulihara hutan paya bakau serta habitat tanah basah mereka.

“Ia juga bagi memantau dan mengumpul data burung migrasi atau burung berhijrah di habitat hutan serta tanah lembap.

“Selain itu, pesta ini selaras objektif menjangkau komuniti dan orang awam khususnya belia supaya menjadi pengurus alam sekitar yang berkesan,” katanya.

Pada masa sama, acara itu sekali gus dapat mempromosikan Taman Alam Kuala Selangor sebagai Tapak Ramsar dan Tapak Rangkaian Flyways yang penting untuk kehidupan masyarakat setempat, selain bagi tujuan ekopelancongan.

“Burung migrasi bukan sekadar pelawat ke pantai, sebaliknya sebagai petunjuk terhadap tahap kesihatan alam sekitar dan ekosistem penduduk.

“Justeru, MNS percaya penting untuk kita menyedari kepentingan melindungi tanah lembap kerana ia bukan hanya untuk burung tetapi kawasan perikanan, habitat kerang, kelip-kelip dan sawah padi,” katanya.

Pelbagai pengisian acara menarik sepanjang dua hari program berlangsung antaranya sesi penanaman benih bakau, berjalan sambil meneroka flora dan fauna, lawatan di kawasan tumpuan burung, booth pameran serta seminar.

Orang ramai juga disaran membawa teropong dan kamera untuk menyaksikan secara lebih dekat penghijrahan burung dari luar negara ke daerah Kuala Selangor.


Pengarang :