SELANGOR

PJFair 2018 kembali 4 November ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 12 OKT: Festival Petaling Jaya atau lebih sinonim sebagai ‘PJ Fair’ kembali menemui orang ramai bermula 4 hingga 11 November ini, di Dataran Petaling Jaya, Persiaran Barat Seksyen 52, di sini.

Memasuki edisi keenam penganjuran sejak 2013, acara itu bakal menampilkan tema ‘International Folklore Festival’ bagi mempromosikan bandar raya berkenaan.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, acara saban tahun itu bertujuan mengangkat imej bandaraya terbabit sebagai kota seni dan destinasi pelancongan antarabangsa menerusi kepelbagaian budaya komunitinya.

Katanya, festival itu menjurus kepada mempromosikan kepelbagaian dan keharmonian budaya serta kesenian komuniti setempat juga antarabangsa.

“Kami memilih tema sama buat kali kedua ini kerana mahu mengembalikan semula kemeriahan budaya seperti 2014 melalui penyertaan daripada pelbagai budaya luar negara

.“Malah, PJ Fair juga bertujuan menyokong pelaksanaan Pelan Induk PJ Sustainable 2030 dan dasar- dasar perbandaran di peringkat global khususnya berkaitan dengan aspek pembangunan budaya dan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pra Pelancaran dan Sidang Media PJFair 2018, di Dewan Banquet MBPJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Azizi berkata, pelbagai aktiviti menarik bercirikan ‘Crowd Puller’, ‘Trendy’ dan ‘Lifestyle’ bakal disajikan khas buat pengunjung.

“Antara aktiviti yang akan diadakan sepanjang PJ Fair termasuk persembahan kebudayaan, konsert artis tempatan, Malaysia Book of Records – The Most Number of Mannequin Challenge Participants dan Asian Corner (Makanan & Minuman, Pakaian dan Kraftangan)

“Selain itu, pelbagai pertandingan seperti PJ Green Explorace, Fun Run, Smart Ride, Kejohanan Bola Jaring Antarabangsa, memancing, ‘Kids Zone’, ‘Painting & Pledge And Plant A Tree’ (Hari Habitat Sedunia) dan lain-lain lagi,” katanya.

Kemuncak acara pada 10 November dengan persembahan etnik sembilan negara termasuk Indonesia, Jepun, Iran, Korea, Filipina, Finland, Botswana dan Malaysia sendiri.

Negara-negara terbabit terdiri daripada bandar di bawah program PJ Friendship City dan International Council of Folklore Festival and Folk Arts Organisations (CIOFF) iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah seliaan UNESCO.

Di samping itu, antara barisan artis terkenal tanah air bakal menggegarkan Konsert Evolusi PJ adalah Akim & The Majistret, Waris, Ara Johari, Masya Mashitah, Santesh, Ben Laden, Ismail Izzani, Uchop, Aina Mentor dan Maynine Band.

Saluran Selangor FM pula bertindak selaku penyiar rasmi festival.


Pengarang :