SELANGOR

PKM DUN Banting hulur bantuan baiki tapak bakar mayat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 OKT: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting akan menghulurkan bantuan bagi membaiki kerosakan di tapak pembakaran mayat kaum India di Sungai Sedu, Banting susulan kejadian angin kencang tempoh hari.

Ahli Dewan Negeri Banting, Lau Weng San berkata, kemudahan itu perlu dibaiki segera bagi membolehkan urusan pembakaran mayat dilakukan dalam keadaan selesa.

“Saya sempat melawat ke tapak perkuburan kaum India di Sungai Sedu, DUN Banting apabila menerima aduan bahawa tapak pembakaran mayat dan kemudahan lain di dalam kubur itu rosak ekoran ribut kencang.

“Saya akan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada persatuan perkuburan itu bagi membaik pulih kemudahan yang rosak secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, tapak berkenaan sudah lama digunakan dan terdapat sebahagian daripada kemudahan, di situ rosak sejak sekian lama.

Katanya, persatuan itu juga diminta untuk menggunakan sebahagian bantuan yang akan diberikan kelak bagi membantu meringankan beban pembakaran mayat daripada keluarga miskin.


Pengarang :