SELANGOR

PKNS sumbang 75 sistem siar raya kepada SRA

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyumbang 75 unit sistem siar raya kepada 75 sekolah rendah agama (SRA) di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berjumlah RM269,546.

Sumbangan menerusi tanggungjawab sosial korporat itu adalah kesinambungan daripada program sama yang dijalankan, pada 2014 membabitkan 99 SRA, di bawah JAIS berjumlah RM229,928.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata, peruntukan pembelian peralatan itu adalah hasil 3/8 wang zakat perniagaan perbadanan terbabit.

“Sebanyak 75 sekolah meliputi sembilan daerah di Selangor iaitu lima di Sabak Bernam, masing-masing enam di Gombak dan Sepang, tujuh di Petaling, lapan Hulu Langat, Hulu Selangor serta Kuala Selangor.

“Manakala bakinya 11 di Kuala Langat dan 16 di Klang menerima sumbangan ini,” katanya.

Terdahulu, Majlis Penyerahan Sumbangan Sistem Siar Raya di Bangunan PKNS disempurnakan Noraida kepada Timbalan Pengarah (Pengurusan) JAIS, Azlinda Azman sambil disaksikan Ketua Pegawai Korporat PKNS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Wang Zakat PKNS, Siti Subaidah Abd Jabar.

Daerah Klang menerima sumbangan terbesar berjumlah RM56,800.

Untuk rekod, PKNS pernah memberikan peruntukkan RM100,000 bagi membaik pulih Kompleks Islam JAIS, Bagan Terap pada 2013 dan bantuan kewangan pelajaran berjumlah RM165,673, pada 2015.

Tahun lalu, PKNS terus komited terhadap pembangunan sosial komuniti sekitar dengan bantuan pembinaan Sekolah KAFA Integrasi Taman Desa Kemandul berjumlah RM150,000.

 


Pengarang :