NASIONAL

PLUS jalan pemantauan berkala, elak risiko tanah runtuh

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 OKT: Plus Malaysia Berhad (PLUS) secara konsisten membuat pemantauan dan pemeriksaan ke atas 6,820 cerun, di sepanjang lebuh raya kendaliannya bagi memastikan keselamatan serta keselesaan pengguna, terutama pada musim tengkujuh.

Ketua Pegawai Operasinya, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, PLUS mengklasifikasi cerun mengikut risiko bagi membolehkan pihaknya memberi perhatian, pemantauan dan pemeriksaan lebih teliti terutama yang berisiko tinggi.

Katanya, langkah mengklasifikasi cerun mengikut risiko itu bertujuan memberi lebih perhatian dan pemantauan serta menjalankan kerja penyelengaraan kepada cerun berisiko tinggi.

“Secara amnya, cerun ini dibahagikan kepada Cerun Berisiko Rendah (Kategori C), Risiko Sederhana (Kategori B), Risiko Tinggi (Kategori A) dan Risiko Sangat Tinggi (Kategori AA).

“Sejak 2004, PLUS mengenal pasti lima zon pemantauan cerun berisiko iaitu Zon Bukit Merah, Zon Jelapang, Zon Gua Tempurung, Zon Bukit Lanjan dan Zon Maokil berdasarkan tahap risiko cerun dan juga kawasan tadahan luar sempadan,” katanya dalam kenyataan.

Zakaria berkata, setakat ini, tiada penambahan kawasan cerun tahunan, namun jika terdapat perubahan bilangan cerun ekoran pembinaan persimpangan bertingkat baharu, ia akan direkodkan di dalam inventori cerun melalui sistem Sistem Pengurusan Cerun Lebuh Raya (EsMas).

Malah katanya, pemeriksaan berkala dan pemantauan secara visual juga dilakukan mengikut kategori iaitu cerun Kategori AA (setiap empat bulan), Kategori A (setiap enam bulan), Kategori B (setiap 12 bulan) dan Kategori C (setiap 18 bulan) manakala pemeriksaan am setiap dua bulan bagi cerun berisiko tinggi.

“Pemantauan dilakukan dengan beberapa kaedah termasuk pemantauan udara yang menggunakan helikopter di cerun berisiko tinggi dan di lima zon pemantauan.

“Pada masa sama, penggunaan tolok hujan yang menggunakan Sistem Pemantauan Masa Nyata (RTMS) turut digunakan.

“Sistem ini dibangunkan bagi membantu PLUS mengurus sistem penyelenggaraan aset lebuh raya melalui penghantaran maklumat atau data secara masa nyata kepada unit, jabatan atau individu yang terbabit bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sistem RTMS mampu memberi petunjuk kemungkinan berlakunya cerun runtuh dalam hubung kaitnya dengan kadar hujan, iaitu sistem akan memberi amaran jika bacaan hujan melangkaui had ditetapkan.

Katanya, teknologi lain digunakan adalah “Total Expressway Maintenance Management System” (Teman) yang bertindak sebagai pangkalan data berpusat dalam pengurusan aset di sepanjang lebuh raya di bawah kendalian PLUS.

“Sistem Teman merekodkan data secara terperinci daripada segi teknikal dan skala penilaian risiko sehingga kepada hasil maklumat serta rekod penyelengaraan.

“Pemantauan juga menggunakan PLUS Geospatial, satu aplikasi menggunakan teknologi Geospatial untuk membantu dalam prapemantauan atau kajian awal di samping sebagai data sokongan bagi aktiviti pemantauan cerun,” katanya.


Pengarang :