SUKANKINI

Polis beri ingatan buat penyokong Final Piala Malaysia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 OKT: Polis mengingatkan penyokong perlawanan akhir Piala Malaysia tidak membawa sebarang barang larangan di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, antara barangan yang tidak boleh dibawa termasuk bahan letupan, senjata tajam, suar, batang besi, kayu, pemetik api, payung, botol air minuman dan dron.

Katanya, seramai 2,172 pegawai serta anggota polis akan ditempatkan di sekitar stadium bagi mengawal keselamatan dan memastikan kelancaran perlawanan antara Perak menentang Terengganu.

“PDRM juga bakal dibantu 294 pasukan keselamatan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang akan ditempatkan di dalam stadium termasuk di sekitar padang.

“Anggota polis yang ditempatkan di stadium itu adalah daripada pelbagai bahagian seperti pasukan khas, Unit Anjing Pengesan (K9), unit berkuda dan unit dron,” katanya dalam sidang media.

Bagi menjamin keselamatan orang awam, PDRM turut akan membuat pemeriksaan berperingkat di pintu masuk, dan ia juga tidak terkecuali kepada peniaga serta petugas MFL.


Pengarang :