NASIONAL

PRK Port Dickson: BERSIH 2.0 lancar pemantauan dan ikrar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 OKT: BERSIH 2.0 mengambil inisiatif menyediakan ikrar pilihan raya bersih dan adil bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 dalam kenyataan berkata, ikrar itu akan dihantar kepada semua calon PRK Port Dickson dan mereka perlu memulangkannya semula dalam tempoh tiga hari.

Katanya, ia bertujuan memberi penegasan dan peringatan kepada semua calon supaya komited terhadap pilihan raya bersih dan adil serta tidak melakukan kesalahan pilihan raya.

“Ikrar ini akan dihantar kepada semua calon pada 1 Oktober (hari ini) dan BERSIH 2.0 akan memberi tempoh tiga hari untuk semua calon menandatangani ikrar berkenaan serta diserahkan semula kepada BERSIH 2.0.

“BERSIH 2.0 menyeru semua pihak termasuk calon, parti politik, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan supaya mematuhi peraturan pilihan raya serta memastikan PRK Port Dickson dijalankan dengan bersih juga adil,” katanya.

Di samping itu, BERSIH 2.0 juga akan menjalankan pemerhatian terhadap SPR, parti politik dan calon dalam proses penamaan calon, kempen pilihan raya serta mengundi yang akan diadakan, pada 13 Oktober ini.

Katanya, fokus pemerhatian terarah kepada 10 aspek antaranya rasuah dan beli undi, penjamuan makanan dan pemberian hadiah, pemberian dan pengaruh tidak wajar oleh kerajaan, penggunaan aset kerajaan untuk kempen pilihan raya serta perbelanjaan berlebihan.

“Selain itu, pemantauan turut membabitkan intimidasi, keganasan, dan gangguan dalam kempen, kelakuan berat sebelah pegawai institusi awam, undi awal dan undi pos, masalah daftar pemilih dan pengundi hantu serta masalah pada hari mengundi,” katanya.

Orang awam boleh membuat aduan kepada BERSIH 2.0 jika mendapati sebarang kesalahan pilihan raya melalui laman sesawang aduan.pemantau.org atau menghubungi 03-7931 4444, 017-2537917 atau 017-253 7923 (whatsapp) serta email [email protected]


Pengarang :